Misi skuasy buru emas terus membara

Misi skuasy buru emas terus membara

BARISAN pemain skuasy negara (dari kiri) Rachel Arnold, Aifa Azman, Aira Azman dan S. Sivasangari menundukkan Macau 3-0 dalam aksi Kumpulan B pada Sukan Asia di Hangzhou, China semalam. – Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Turun sebagai pilihan meraih pingat emas, pasukan skuasy wanita negara meneruskan kempen cemerlang dalam Sukan Asia Hangzhou apabila mengesahkan slot ke separuh akhir walaupun peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.

Kemenangan 3-0 ke atas Macau pada aksi ketiga Kumpulan B semalam menyaksikan slot empat terbaik dalam genggaman Malaysia tanpa mengira apa berlaku apabila bertemu India, hari ini.

Diletak sebagai pilihan kedua, Malaysia yang menurunkan Aifa Azman sebagai perseorangan kedua hanya mengambil masa 13 minit untuk menewaskan Yeung Wai Peng 11-1, 11-2, 11-3.

Perseorangan pertama, S. Sivasangari pula menundukkan Liu Kwai Chi 11-6, 11-2, 11-2 dalam masa 15 minit sebelum adik Aifa, Aira hanya memerlukan 13 minit untuk mengalahkan Leong Leng Lam 11-7, 11-2, 11-2.

Pertemuan menentang ­India dalam aksi terakhir, hari ini bagaimanapun penting bagi menentukan juara Kumpulan B, sekali gus mengelak berdepan pilihan pertama, Hong Kong yang ­dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengungguli Kumpulan A.

PASUKAN lelaki negara menumpaskan Jepun 3-0.

“Pertemuan menentang India tetap penting dan kita akan putuskan siapa bakal diturunkan menentang India nanti,” kata pengurus pasukan, Nafzahizam Adnan ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B melakar kemenangan 3-0 ke atas Jepun.

Bagaimanapun, Ivan Yuen yang terlebih dahulu masuk ke dalam gelanggang mencemaskan seketika kem negara apabila diheret sehingga ke set penentuan sebelum menang ke atas Tomotaka Endo 6-11, 11-4, 4-11, 11-6, 11-6 dalam masa 62 minit.

Perseorangan utama negara, Ng Eain Yow memastikan kemena­ngan milik Malaysia apabila dia menewaskan Ryunosuke Tsukue 11-7, 6-11, 13-11, 11-6.

Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar yang turun untuk sekadar melengkapkan saingan tidak berdepan masalah menewaskan Naoki Hayashi 11-5, 11-6, 11-4 dalam masa 21 minit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya