LONDON: Penyerang baharu Manchester United (MU), Rasmus Hojlund sudah cergas dan bersedia membuat penampilan sulung dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal hari ini.
United juga mempunyai kekuatan tambahan di benteng dengan boleh menurunkan bek kiri, Sergio Reguilon yang baru dipinjam daripada Tottenham.
Semua mata akan tertumpu di utara London apabila Gunners menerima kunjungan Red Devils dalam aksi ‘blockbuster’ EPL.
Kedua-dua pasukan mengharungi permulaan sukar dengan Arsenal bertungkus-lumus mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan pertama mereka.
Skuad bimbingan Mikel Arteta menang tipis 2-1 ke atas Nottingham Forest dalam aksi pembukaan liga, menewaskan Crystal Palace 1-0 pada perlawanan kedua dan seri 2-2 dengan Fulham minggu lalu.
United pula kalah 2-0 di Tottenham dalam aksi kedua selepas berhempas pulas mengalahkan Wolverhampton 1-0 pada perlawanan sulung dan menang tipis 3-2 ke atas 10 pemain Nottingham di Old Trafford minggu lalu.

ELEMEN PENTING PERTEMBUNGAN ARSENAL-UNITED
RICE lawan CASEMIRO
Penguasaan bahagian tengah bakal menjadi tumpuan di Emirates dengan Arsenal dijangka mempertaruhkan Declan Rice, manakala United menuntut kebijaksanaan Casemiro.
Musim lalu, Rice muncul pemain tengah paling menonjol dan menunjukkan kelasnya bersama West Ham.
Sejak pramusim, Mikel Arteta sering bercakap tentang keterujaan untuk melihat Rice berganding dengan Thomas Partey, dan kini dengan Oleksandr Zinchenko sudah cergas, Partey akan kembali ke peranan asalnya sebagai pemain tengah bertahan.
Posisi itu membolehkan Partey meneruskan kerja pertahanan, dan menyekat gerakan Casemiro yang dianggap enjin United.

MARTINELLI lwn WAN-BISSAKA
Gabriel Martinelli menggalas tugas berat selepas membazirkan banyak peluang ketika menentang Fulham.
Penyerang Brazil itu mempunyai kualiti untuk membuat perubahan hari ini, namun bakal berdepan salah seorang pertahanan terbaik dalam situasi ‘satu lawan satu’, Aaron Wan-Bissaka.
Mengikut statistik, Wan-Bissaka berada di tempat teratas dalam melakukan pintasan atau sekatan. Dia telah menyekat 23 daripada 25 larian lawan musim lalu.

SALIBA lwn RASHFORD
Penonton juga bakal dihiburkan dengan pertembungan hebat antara William Saliba dan Marcus Rashford.
Pada 4 September tahun lalu, Saliba antara benteng Arsenal yang menjadi mangsa kepantasan Rashford yang membolosi gawang mereka dua kali ketika Red Devils menumpaskan Gunners 3-1 di Old Trafford.
Begitupun Saliba menampilkan permainan cemerlang ketika menentang Crystal Palace dan Fulham, selain semakin peka menutup gerakan menerusi serangan balas.
