Malaysia naik ranking 133 dunia jika kalahkan China

Malaysia naik ranking 133 dunia jika kalahkan China

PEMAIN Harimau Malaya melakukan persiapan terakhir di Chengdu, China kelmarin menjelang pertemuan menentang tuan rumah, China dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu malam ini. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal menikmati kenaikan tiga anak tangga dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika mengalahkan pasukan No. 80 dunia, China hari ini, ‘habuan’ yang mampu menjadi motivasi kepada anak-anak buah Kim Pan Gon untuk melakar kejutan di Chengdu.

Biarpun misi memburu kemenangan tidak mudah, apatah lagi sudah 43 tahun Malaysia tidak pernah mengalahkan negara itu, namun bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah percaya, prestasi Harimau Malaya ketika mengikat pasukan No. 94 dunia, Syria 2-2, Rabu lalu menjanjikan harapan.

Azraai percaya, Pan Gon memiliki skuad serba lengkap, dan jika mereka menggunakan taktikal betul, China juga mampu dijinakkan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu.

Jika menang malam ini, skuad negara akan mengutip 6.927 mata dan naik ke tangga 133 dunia.

Seri bermakna mereka kekal di tangga ke-136 dunia dengan tambahan 1.927 mata tetapi tewas bermakna Malaysia turun ke-137 dunia dengan penolakan 3.073 mata.

KIM Pan Gon (kanan) akan mencuba taktikal baharu apabila berdepan China hari ini. – IHSAN FAM

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Di atas kertas memang ranking China lebih baik tapi melihat persembahan ketika menentang Syria, kita tengok ada peningkatan dan kita mampu lakar kejutan.

“Sejak di bawah Pan Gon, skuad kebangsaan amat berbeza. Mereka boleh bangkit ­biarpun ketinggalan, nampak ada kesungguhan dan kita ada naturalisasi yang memberi sumbangan seperti diharapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani amat mengimpikan untuk melihat Harimau Malaya melakar kemenangan pertama ke atas China sejak kali terakhir melakukannya pada 1980.

Hassan yang menjadi sebahagian anggota skuad ­kebangsaan ketika menewaskan China 3-1 dalam perlawanan persahabatan itu turut berharap, Pan Gon akan menurunkan gandi­ngan Akhyar Rashid dan Darren Lok yang dilihat amat berkesan ketika bertemu Syria.

“Sudah lama kita tidak menang dengan China lebih 40 tahun, kali terakhir ketika saya bersama skuad negara pada 1980.

“Saya percaya pasti ada yang sudah lupa tentang sejarah itu, tetapi besar harapan untuk kita lihat skuad negara menang esok (malam ini).

“Masa menentang Syria, permainan kita lebih hidup pada separuh masa kedua, jadi saya harap gandingan 45 minit ­terakhir seperti Akhyar, Darren dan Safawi (Rasid) dikekal­kan,” katanya kepada Utusan ­Ma­laysia.

China memenangi lapan daripada 12 pertemuan dengan ­Malaysia, manakala tiga per­lawanan berakhir seri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN