PETALING JAYA: Selepas melepasi fasa mencemaskan dalam proses kelayakan, Malaysia mahu membentuk skuad mantap dengan himpunan bintang pada pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar, tahun depan.
Antara nama-nama besar yang tiada dalam skuad ke Thailand tetapi menjadi sasaran untuk dibawa ke Qatar dari 15 April hingga 3 Mei adalah Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Ramadhan Saifullah.
Ketiga-tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memiliki pengalaman beraksi bersama skuad senior, dan mampu menjadi nilai tambah buat pengendali Malaysia B-23, E. Elavarasan.
Biarpun Arif Aiman hampir pasti berada dalam perancangan Kim Pan Gon untuk Piala Asia 2024, skuad B-23 turut memasang impian menyenaraikan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 itu ke Piala Asia B-23.
“Perancangan (memanggil Arif Aiman) tidak pernah mati dan saya selalu membincangkan perkara ini dengan Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Datuk Hamidin Mohd. Setiap kali ada panggilan, saya akan tanya Arif Aiman boleh panggil atau tidak.
“Terpulang kepada pucuk pimpinan kerana bagi kami perkara ini senang saja, apabila ada pemain kita pun akan buat kerja lebih baik.
“Saya berdoa pada April nanti kalau ada rezeki, maka pemain ini akan dapat bantu pasukan,” kata Pengurus Malaysia B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Pasukan negara mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 selaku empat pasukan naib juara terbaik selepas kalah 0-1 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H, Selasa lalu.
Aksi hambar skuad muda negara di Chonburi itu mendapat banyak kritikan, malah timbul desakan agar Elavarasan diganti dengan Pan Gon atau jurulatih yang lebih layak.
Kata Shahril, rangka persiapan pasukan perlu dimulakan daripada sekarang kerana tempoh yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan jika menunggu saat boleh dianggap singkat.
“Saya bangga dengan kejayaan ini, orang boleh kata macam-macam tetapi kalau kita tengok, negara seperti Oman, Bahrain kalau ikutkan skuad senior mereka adalah pasukan yang bagus.
“Jadi saya rasa anak muda kita perlu bangga kerana mereka juga masih lagi belajar.
“Tempoh enam bulan yang ada tidaklah panjang, namun dengan persiapan bakal dibuat saya yakin pasukan ini boleh pergi jauh,” katanya.