PETALING JAYA: Malaysia perlu lebih tenang untuk menjaringkan gol selepas membazirkan deretan peluang ketika terikat 0-0 dengan Arab Saudi dalam aksi Kumpulan A, kejohanan Persahabatan Wanita Antarabangsa di Stadium King Fahd Sports City, Taif semalam.
Biarpun mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, skuad Malayan Tigress kendalian Soleen Al-Zaubi kelihatan gugup di hadapan gawang menyebabkan Malaysia gagal mengegarkan jaring lawan, sekali gus berpuas hati dengan satu mata dan perlu fokus kepada aksi seterusnya menentang Pakistan esok.
Di sebalik kegagalan untuk menundukkan Arab Saudi yang menghuni ranking ke-172 dunia itu, Soleen tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan para pemainnya dan menganggap keputusan seri 0-0 adalah sesuatu yang positif.
“Sejujurnya ia bukanlah keputusan yang kami harapkan tetapi pemain telah lakukan segalanya. Mereka bermain baik dan kurang bernasib baik kerana tidak menjaringkan gol tetapi ini adalah bola sepak.
“Banyak perkara boleh diperbaiki dan kita akan fokus pada perkara itu bagi menghadapi Pakistan namun apa yang penting, kita dapat lihat mereka bermain permainan yang diinginkan walaupun sedar bukan mudah bermain dengan tuan rumah.
“Untuk perlawanan seterusnya, kita perlu perbaiki penyudah dengan para pemain perlu lebih fokus dan saya jangkakan perkara ini daripada mereka kerana kita tahu perlawanan pertama biasanya paling sukar dan mereka mungkin lebih tenang selepas ini.
“Jika pemain lebih fokus dan tenang dalam penyudah kita pasti akan menang,” kata Soleen selepas perlawanan awal pagi semalam.
Soleen berharap anak-anak buahnya yang berada di ranking ke-89 dunia dapat menampilkan persembahan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya dalam saingan Kumpulan A bertemu Pakistan iaitu pasukan yang menghuni ranking ke-157 dunia.
Dalam pada itu, Soleen juga berterima kasih kepada para penyokong yang hadir ke stadium dan juga di tanah air yang nyata meningkat semangat para pemain.
Keputusan seri 0-0 itu menyaksikan Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan A dan misi mencari tiga mata diteruskan pada perlawanan seterusnya menentang Pakistan esok bagi mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir di kejohanan berkenaan. – UTUSAN ONLINE