LONDON: Gara-gara enggan meminta maaf kepada pengurus pasukan, Erik ten Hag, bintang tengah Manchester United, Jadon Sancho disingkirkan daripada skuad utama.
Dua minggu lalu, Sancho, 23, membidas jurulatih dari Belanda itu di media sosial selepas Ten Hag memberitahu media, dia digugurkan kerana prestasinya merosot.
Bintang England itu melabelkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar sebelum mendakwa dia dijadikan kambing hitam terlalu lama dalam pasukan.
Semalam, Red Devils mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan Sancho tidak akan berlatih bersama rakan-rakan sepasukan sehingga isu tersebut selesai.
Portal sukan The Athletics mendedahkan, United membuat keputusan itu selepas Sancho enggan memohon maaf kepada Ten Hag setelah pertemuan mereka minggu ini.

Bekas pemain Borussia Dortmund itu kini dibuang dari pusat latihan pasukan utama walaupun masih dibenarkan menggunakan semua kemudahan yang ada di akademi kelab.
Situasi tersebut nyata bukan sesuatu yang bagus buat United pada ketika pasukan itu sedang bergelut dengan prestasi ekoran kekalahan 3-1 kepada Arsenal dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.
United yang akan menerima kunjungan Brighton di Old Trafford hari ini juga tewas 2-0 kepada Tottenham musim ini.
“Jadon Sancho akan kekal dalam program latihan peribadi di luar kumpulan pasukan utama, sementara menunggu masalah disiplin selesai,” kata United dalam kenyataan semalam.
Awal minggu ini Pengarah Bola Sepak Manchester United, John Murtough mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut Sancho dan Ten Hag.
Penyingkiran Sancho merupakan langkah terbelakang bagi seorang pemain yang menyertai kelab itu dengan rekod cemerlang dari Dortmund pada musim panas 2021, malah dibayar pada harga tinggi 73 juta pound (RM424 juta). – AGENSI