Elavarasan letak jawatan ketua jurulatih Malaysia B-23

Elavarasan letak jawatan ketua jurulatih Malaysia B-23

E. ELAVARASAN (kiri) meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 selepas mengadakan pertemuan dengan Hamidin Mohd. Amin. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, E. Elavarasan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu sebaliknya akan kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Biarpun berjaya membawa Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan, namun corak permainan skuad negara mendapat kritikan hebat.

Peminat bola sepak menganggap taktikal Elavarasan sudah ‘lapuk’, malah desakan agar FAM menukar jurulatih kuat kedengaran terutama selepas kekalahan 1-0 kepada Thailand dalam aksi terakhir kelayakan di Chonburi.

Pada 1 September 2022, Elavarasan diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.

“FAM ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

“Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu.

“Biarpun gagal pada Sukan SEA 2023 di Kemboja (Mei), mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

“Sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah diadakan di Wisma FAM bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

“Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan mencapai kata sepakat agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawab sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Pan Gon dalam skuad senior.

“Itu sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Noor Azman, Presiden FAM mengucapkan terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lalu.

Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya