PETALING JAYA: Pemain tengah Bukit Tambun, Husnul Irsal Amran tidak meletak harapan tinggi untuk memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebaliknya bersyukur jika jaringanya tercalon dalam senarai pendek.
“Saya tidak letak harapan tinggi tercalon ke peringkat akhir Anugerah Puskas FIFA tapi kalau dapat dalam 50 atau 10 terbaik pun dah bersyukur,” katanya.
Jaringan Husnul Irsal menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas rembatan sejauh 70 meter itu berjaya menerjah gawang, sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-1 buat pasukannya mengatasi KL Rovers dalam saingan Liga M3, Isnin lalu.
Tambahnya, ketika ditanya mengenai Anugerah Puskas FIFA, pemain kelahiran Jelutong di Pulau Pinang itu mengakui tidak kisah jika ada pihak yang inginkan mencalonkan golnya itu ke anugerah berprestij berkenaan.
“Bukan mudah nak tercalon ke Puskas, tapi jika dapat disenaraikan saya dah cukup gembira. Tapi saya tak letak harapan tinggi kerana saya tahu bukan senang,” jelasnya.
Dia juga berharap hasil daripada gol itu akan dapat membuka mata pasukan dari Liga Super pada musim hadapan untuk mendapat khidmatnya.
“Kalau gol itu dapat buka peluang dengan kelab-kelab lain dapat lihat potensi saya, memang saya nak bermain di Liga Super tahun depan, Insya-Allah.
“Memang menjadi impian saya nak main di Liga Super,” katanya.
Pemain Malaysia, Muhamad Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas 2016 lalu hasil jaringan lencongnya dalam aksi Liga Malaysia bersama Penang FC.