Ahmad Samsuri mampu perkukuh PN

Ahmad Samsuri mampu perkukuh PN

Gambar pertemuan antara Muhyiddin Yassin dan Ahmad Samsuri Mokhtar dikongsikan oleh Mohd Syahir Che Sulaiman dalam Facebook beliau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diyaki­ni boleh memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) bagi meng­hadapi PIlihan Raya Umum Ke-16, dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Ahmad Samsuri juga mempunyai imej teknokrat dan profesional, bakal memberi imej baharu kepada PN sekali gus akan memberi keyakinan semula ke­pada rakyat untuk bersama gabungan tersebut.

Semalam beliau mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menguatkan lagi spekulasi pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Setiausaha Politik Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman memberitahu Utusan Malaysia, pertemuan itu berlangsung selepas Ahmad Samsuri mendapat mandat daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Samsuri sebelum ini antara nama disebut-sebut menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN. Malah, Naib Presiden Pas itu juga antara calon Perdana Menteri daripada Pas sekiranya parti itu memerintah.

Selain Ahmad Samsuri, Timbalan Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin disebut-sebut mengisi jawatan Timbalan Pengerusi PN sekali gus bakal membentuk gandingan yang kuat seterusnya membawa wajah baharu kepada gabungan tersebut.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya Ahmad Samsuri dilantik beliau diyakini mampu memperkukuh PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Siapa sahaja yang dilantik bukan isu utama. Perkara pa­ling penting ialah PN perlu menjadi lebih stabil dan kukuh untuk menghadapi PRU-16.

“PN terdiri daripada dua parti utama iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Ketika ini, proses pelantikan serta pengukuhan semula kepimpinan perlu dilakukan segera PN lebih bersedia menghadapi PRU16 akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, pelantikan Pengerusi PN baharu ia akan diputuskan melalui perbincangan rasmi PN dalam masa terdekat.

“Kedudukan Tan Sri Muh­yiddin untuk letak jawatan itu belum sah atau tidak, itu inshaAllah kita akan bincangkan. Saya yakin ia akan dibincang dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas gambar pertemuan Muhyiddin dengan Ahmad Samsuri yang dikongsi Mohd. Syahir, beliau berkata: “Kita belum putuskan (Samsuri ganti Muhyiddin) kerana apa yang penting PN perlu diperkukuhkan dan selesaikan masalah yang berlaku.

“Kita yakin Pas mampu menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi PN dengan baik,” katanya.

Menurut sumber, Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN turut memberi bayangan beliau adalah calon Perdana Menteri pertama dari Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Ahmad Samsuri antara yang disebut sebagai Pengerusi PN manakala Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pula dilihat akan terus berperanan sebagai panglima perang dalam menge­tuai pilihan raya, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula dijangka lebih ba­nyak memberi tumpuan kepada parti,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, gandingan Ahmad Samsuri dan Hamzah bakal memberi wajah baharu kepada PN sekali gus mengukuhkan gabungan itu dalam berdepan PRU16.

Katanya, kelebihan dua pemimpin tersebut adalah bagi membawa naratif dan pendekatan politik baharu di dalam PN.

“Pas diakui sangat kuat namun yang menjadi masalah adalah parti itu kekurangan pemimpin berkaliber dan jika Ahmad Samsuri yang mempunyai latar belakang profesional yang cukup hebat dilantik (Pengerusi PN), ia bakal memberi warna baharu kepada politik Pas yang lebih me­yakinkan.

“Gandingan Ahmad Samsuri dan Hamzah akan mewakili ge­nerasi politik baharu. Hamzah juga mempunyai pengalaman cukup luas di dalam pentadbiran kerajaan selain mempunyai kemahiran diplomasi yang cukup baik.

“Gandingan kedua-dua pe­mim­pin ini akan menawarkan sesuatu yang baharu kepada rakyat dan lebih meyakinkan,” katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof pula berkata, Hamzah mempunyai kapasiti dan pengaruh yang akan me­nyapadukan semula PN.

Katanya, jika Ahmad Samsuri dilantik sebagai Pengerusi PN ia sekali gus bakal menguatkan merit bahawa beliau adalah calon Perdana Menteri seterusnya dari Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×