Maresca, Glasner, Emery antara calon Man United

Maresca, Glasner, Emery antara calon Man United

Antara calon yang berpotensi menjadi pengendali Manchester United. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemecatan Ruben Amorim kelmarin menyaksikan Manchester United kini memasuki bab pencarian pengurus tetap ketujuh sejak Sir Alex Ferguson menutup tirai kegemilangannya pada 2013, satu hakikat yang terus membelenggu kestabilan kelab gergasi itu.

Buat sementara waktu, Darren Fletcher diberi amanah sebagai pengurus interim, namun pelantikan jurulatih bawah 18 tahun itu dilihat sekadar solusi jangka pendek ketika pihak pengurusan mula menilai calon paling sesuai untuk memimpin kebangkitan baharu Red Devils.

Antara nama yang mencuri tumpuan ialah Oliver Glasner iaitu pengendali Crystal Palace yang mencipta sensasi apabila membawa kelab London berkenaan menjulang Piala FA musim lalu, selain dikenali dengan pendekatan tiga pertahanan dan penggunaan sayap belakang yang agresif, falsafah yang tidak terlalu asing dengan sistem diterapkan Amorim sebelum ini.

Turut dikaitkan ialah Enzo Maresca yang berpisah dengan Chelsea susulan konflik dalaman.

Pengurus Itali itu memiliki resume menarik dengan kejuaraan Liga Konferens UEFA dan Piala Dunia Kelab, malah sebelum ini disebut-sebut sebagai calon sekiranya Pep Guardiola meninggalkan Manchester City.

Nama Gareth Southgate juga kembali berlegar di Old Trafford, di mana bekas pengurus England itu pernah dikaitkan dengan United, namun persoalan besar timbul sama ada beliau berminat kembali mengharungi tekanan bola sepak kelab selepas mengakhiri tugas bersama Three Lions pasca Euro 2024.

Dari Sepanyol, Unai Emery kekal antara calon paling kukuh berikutan keupayaannya mengubah Aston Villa menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris, termasuk kempen mengagumkan dalam Liga Juara-Juara musim lalu, menjadikan pengurus berpengalaman itu pilihan realistik jika United mahukan kestabilan segera.

Thomas Tuchel pula dilihat sebagai pilihan berprofil tinggi, walaupun kini memberi fokus kepada misi England di Piala Dunia, pengalaman luasnya bersama PSG, Chelsea dan Bayern Munich menjadikan beliau calon yang mampu menarik minat jika United berani menunggu.

Sementara itu, Mauricio Pochettino dan Andoni Iraola melengkapkan senarai calon yang dipantau. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN