‘Badang muda’ buru tiket Olimpik Brisbane 2032

‘Badang muda’ buru tiket Olimpik Brisbane 2032

ATLET angkat berat remaja Sarawak menjalani latihan rapi di Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pencarian atlet angkat berat remaja ke Sukan Olimpik Brisbane 2032 dan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur bermula hari ini.

Seramai 164 peserta berusia bawah 13 dan 16 tahun dari seluruh negara akan menyertai Kejohanan Bakat Kebangsaan Sukan Angkat Berat Melaka Siri 2/2023 di Melaka Mall.

Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, kejohanan itu amat penting bagi memilih atlet pelapis lelaki dan perempuan sebagai persiapan dua temasya tersebut.

Katanya kejohanan yang bermula hari ini sehingga Ahad menjadi medan buat Majlis Sukan Negara (MSN) memilih atlet remaja terbaik sebagai persiapan Olimpik di Australia dan Sukan SEA 2027.

“Setakat ini semua negeri akan mengambil bahagian dan menghantar atlet bagi menyertai 14 kategori lelaki dan 14 kategori perempuan.

“Cuma atlet Perlis dan Terengganu tidak dibenarkan mengambil bahagian kerana masih digantung PABM selepas tiga atlet mereka positif doping sebelum Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022,” ujar­nya semalam.

Ahmad Janius Abdullah

Ahmad Janius berkata, atlet remaja yang terpilih daripada Kejohanan Bakat Kebangsan ini akan ditempatkan di Kem Pelapis di MSN, Bukit Jalil sebagai persiapan penting Sukan Olimpik dan Sukan SEA.

Beliau berkata, kejohanan ini melibatkan atlet di bawah umur 16 dan 13 tahun  menyertai 14 kategori yang dipertandingkan.

Ujarnya, kejohanan yang akan berlangsung di Melaka Mall, Ayer Keroh di sini akan  bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN