Tiada kelibat 'Sobey' di Sukan Asia Hangzhou 2023

Tiada kelibat ‘Sobey’ di Sukan Asia Hangzhou 2023

Zulkifli Abdul Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekong Terengganu, Zulkifli Abdul Razak sah tidak akan menyertai skuad negara ke Sukan Asia Hangzhou September depan selepas namanya tidak terpilih untuk menyarung jersi kebangsaan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Halim Sulaiman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan badan induk itu dalam satu sidang media di ibu kota hari ini.

Zulkifli, yang beraksi di posisi tekong merupakan antara tonggak penting yang membantu Malaysia menamatkan kemarau 24 tahun negara memenangi pingat emas acara sepak takraw di Sukan Asia Jakarta/Palembang 2018 setelah menumpaskan Indonesia di pentas final acara regu lelaki.

Selain Zulkifli, turut sama tidak tersenarai adalah Hafizi Abdul Razak juga merupakan sebahagian daripada skuad emas 2018, bersama-sama lapan lagi pemain yang gagal dalam pemilihan kali ini.

Timbalan Presiden PSM, Datuk Halim Sulaiman (tengah) mengumumkan senarai 15 pemain yang akan dibawa ke kem latihan intensif di Ratchaburi, Thailand pada 17 Ogos depan.

Jelas Halim, pemilihan kali ini diadakan cukup ketat sambil dibantu oleh Institut Sukan Negara (ISN) dalam melakukan penilaian serta analisa prestasi semasa setiap pemain.

“Di PSM, kami tidak mengamalkan pilih kasih, segala pemilihan dibuat menerusi penilaian daripada barisan kejurulatihan ketika sesi latihan dan juga penyertaan di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

“Dalam pemilihan kali ini juga, banyak pemain-pemain yang telah menunjukkan peningkatan.

“Ada banyak faktor, jadi Sobey (Zulkifli) dan yang lain terpaksa digugurkan buat masa ini, kerana kita hanya boleh membawa 12 pemain sahaja ke Sukan Asia,” jelas Halim.

Daripada 25 pemain yang berada dalam kem latihan pusat sebelum ini, hanya 15 pemain sahaja terpilih untuk di bawa ke Ratchaburi Thailand pada 17 Ogos ini, untuk kem latihan intensif, bagi mencari 12 pemain berkualiti untuk mempertahankan pingat emas acara regu di Sukan Asia.

Skuad negara turut akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Pattaya pada 31 Ogos hingga 4 September depan bagi mengasah taring kemampuan masing-masing sebelum berentap di Hangzhou September depan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya