IPOH: Walaupun sudah turun berlatih bersama pasukan tetapi Perak FC belum pasti menurunkan penyerang tonggak, Seo Seonung apabila bertemu Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak esok.
Senung mengalami patah hidung pada minit ke-60 ketika bertemu Kedah Darul Aman FC dalam saingan Piala Malaysia baru-baru ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, Seonung belum pasti diturunkan kerana pasukan itu tidak mahu mengambil risiko kecederaannya berulang.
“Memang dia sudah menjalani latihan bersama pasukan tetapi kami tidak mahu mengambil risiko menurunkannya kerana bimbang dirempuh oleh pemain lawan yang akan memburukkan lagi kecederaannya,” katanya.
Satu lagi pilihan yang ada buat pemain itu ialah beraksi dengan memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan.
Abdul Azim menyerahkan kepada Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah membuat keputusan mengenai kedudukan penyerang Korea itu.
“Saya yakin Yusri akan membuat keputusan terbaik demi pasukan,” katanya.
Pengerusi kelab itu berharap pemain Perak mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika merekod kemenangan 3-1 ke atas Kedah sebelum ini.
“Ini bukan masanya meraikan kejayaan kerana kita velum menang apa-apa.
” Namun kalau main macam masa lawan Kedah malam itu, maka ada harapan untuk Perak menang,” katanya. – UTUSAN ONLINE