PETALING JAYA: Kim Pan Gon memberi bayangan tidak akan meminggirkan Faisal Halim biarpun pemain sayap lincah Selangor itu digantung sebulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua Jurulatih Harimau Malaya itu menegaskan, beliau tidak bimbang prestasi Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey akan menurun kerana sebagai pemain profesional, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengekalkan tahap kecergasan dan kualiti atas padang.
“Tentang isu ini, sebagai pemain profesional, dia (Faisal) bermain semua perlawanan sejak beberapa bulan lalu dan dia hanya terlepas beberapa perlawanan (dalam tempoh pergantungan), saya rasa ia tidak memberi kesan ke atas persembahannya.
“Namun, kita akan lihat bagaimana keadaan dia (Faisal) dan apa yang kita boleh bantu dan apa yang pasti, kita akan cuba melakukan yang terbaik untuknya,” kata Pan Gon ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Pan Gon menghadiri majlis pelancaran awal dan undian Pestabola Merdeka 2023 di Wisma FAM yang menyaksikan Harimau Malaya akan menentang India pada 13 Oktober, manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Palestin bertemu Lebanon.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyerahkan kepada Pan Gon untuk membuat keputusan sama ada mahu memanggu Faisal atau tidak dalam kem kebangsaan untuk aksi persahabatan Tier 1 bulan depan.
Harimau Malaya akan menghadapi dua aksi persahabatan bertemu Syria pada 6 September, diikuti China pada 9 September sebelum beraksi dalam Pestabola Merdeka bermula 13 hingga 17 Oktober.
Ketika ini, Faisal tersisih dalam aksi kompetitif selepas digantung sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM bermula 25 Julai hingga 23 Ogos ini kerana melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media).
Sementara itu, tiket Kombo RM70 (bagi menyaksikan kesemua perlawanan Pestabola Merdeka) akan dijual mulai dijual hari ini www.tickethotline.com.my sehingga 5 September 2023, disusuli jualan tiket Terbuka (harga normal), Grandstand dan Premium bermula 6 September 2023.