LONDON: Pendahulu Liga Pro Saudi, Al-Ittihad semakin yakin untuk mendapatkan bintang penyerang Liverpool, Mohamed Salah.
Sejak beberapa minggu lalu, bintang Mesir itu dikaitkan dengan Ittihad yang dibimbing bekas pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo.
Akhbar Arriyadiyah mendakwa, Salah, 31, mempertimbangkan tawaran itu secara serius dan Al-Ittihad yakin akan menandatanganinya sebelum jendela perpindahan ditutup pada 20 September.
Bagaimanapun mereka kesuntukan masa untuk berunding dengan Liverpool kerana jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan ditutup kurang dari seminggu.
Pakar perpindahan yang juga wartawan bola sepak terkenal Itali, Fabrizio Romano percaya, sebarang usaha untuk membawa Salah ke Arab Saudi tidak mungkin berlaku.
Katanya, Liverpool tidak akan melepaskan legenda mereka itu ketika liga sudahpun bermula.
“Daripada apa yang saya diberitahu, kedudukan Liverpool sangat jelas.
“Salah tidak boleh disentuh. Walaupun mereka membenarkan Fabinho dan (Jordan) Henderson pergi tetapi untuk Mo Salah, mereka tidak mahu melepaskannya.
“Salah adalah legenda Liverpool, jadi tidak kira bila dia meninggalkan kelab itu, dia telah lakukan lebih daripada cukup selama enam tahun di Anfield,” kata Romano.
Enjen Salah, Ramy Abbas sebelum ini turut menepis spekulasi tersebut dengan menegaskan, Salah tidak akan menyambung kontrak baharu jika dia berhasrat meninggalkan Reds tahun ini.
“Kalau kami mempertimbangkan untuk meninggalkan Liverpool tahun jadi, kami tidak akan menandatangani kontrak baharu tahun lalu,” kata Ramy. – AGENSI