LONDON: Kylian Mbappe bersedia menyertai Chelsea pada musim panas ini tetapi hanya untuk tempoh setahun.
Paris Saint-Germain (PSG) yang terdesak untuk melepaskan bintang Perancis itu kini berunding dengan pelbagai kelab bagi mencapai perjanjian bernilai 215 juta pound (RM1.2 bilion).
Mbappe, 24, enggan menyambung kontraknya yang tamat hujung 2024 tetapi bertegas mahu bermain buat PSG pada musim terakhirnya bersama gergasi bola sepak Perancis itu.
Begitupun, PSG enggan membiarkan penyerang terbaik mereka itu pergi secara percuma dan mahu menjualnya pada musim panas ini.
Stamford Bridge dilihat sebagai ‘persinggahan’ buat penyerang berusia 24 tahun itu bagi menghabiskan semusim sebelum menyertai kelab impiannya, Real Madrid.
Real tidak menyembunyikan minat untuk mendapatkan Mbappe tetapi keberatan untuk membayar yuran perpindahan yang tinggi dan hanya menunggu pemain tersebut dilepaskan secara percuma tahun depan. – AGENSI