LONDON: Legenda Liverpool, John Aldridge menggesa pegawai perlawanan, Paul Tierney dihukum kerana tidak melakukan apa-apa ketika Alexis Mac Allister dilayangkan kad merah dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth, Sabtu lalu.
Tierney adalah pegawai yang menjaga video bantuan pengadil (VAR), dalam perlawanan yang menyaksikan pengadil Thomas Bramall melayangkan kad merah kepada Mac Allister pada minit ke-58 kerana mengasari Ryan Christie.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain dalam 32 minit terakhir permainan, Reds menang 3-1, namun tindakan Aldridge enggan menggunakan ‘kuasa’ VAR biarpun kad merah yang dilayangkan Bramall tampak boleh dipertikaikan mengundang kritikan.
Semalam, Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris membatalkan kad merah tersebut selepas Liverpool memenangi rayuan mereka.
Penggantungan tiga perlawanan yang dikenakan terhadap Mac Allister juga dibatalkan, dan itu bermakna dia boleh diturunkan menentang Newcastle United, Aston Villa dan Wolverhampton.
“Mengenai keputusan kad merah, saya benar-benar tidak tahu apa hendak dikatakan tentang bagaimana Alexis Mac Allister dibuang padang. Saya bingung dengan panggilan itu.
“Ia bukan kad merah, tiada niat jahat sama sekali. Mac Allister merebut bola dan kakinya terkena lawan sedikit.
“Fakta Tierney nampak insiden itu tetapi berusaha mengubah keputusan di atas padang sangat luar biasa.
“Pemain dan pengurus bola sepak dihukum kerana kesilapan yang mereka lakukan, jadi mengapa pegawai Liga Perdana harus melarikan diri dengan melakukan kesilapan yang boleh memberi kesan kepada bagaimana perlawanan berlangsung?
“Tierney harus diberhentikan daripada tugasan untuk hujung minggu akan datang,” katanya kepada Liverpool Echo.
Sementara itu, FA mengakui, berlaku kesilapan ketika pengadil melayangkan kad merah.
“Jawatankuasa undang-undang bebas membatalkan penggantungan tiga perlawanan ke atas Alexis Mac Allister berikutan dakwaan kesilapan kad merah.
“Pemain tengah Liverpool itu dibuang padang kerana kekasaran yang serius ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth pada Sabtu, 19 Ogos,” kata jurucakap FA dalam satu kenyataan. – AGENSI