Lapan hari dibaik pulih, palang penghadang LTU Gua Musang 'rebah' lagi

Lapan hari dibaik pulih, palang penghadang LTU Gua Musang ‘rebah’ lagi

SEBUAH lori merempuh palang had kenderaan berat di laluan sementara Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Taman Wangi, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Belum sampai dua minggu dibaiki, palang had kenderaan berat di laluan sementara Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Taman Wangi di sini, sekali lagi ‘rebah’ selepas dirempuh sebuah lori, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 48 tahun yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh struktur berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu menyebabkan struktur palang tersebut patah dan tumbang.

Katanya, sebelum ini, Jabatan Kerja Raya baru sahaja membina semula palang tersebut pada 30 Mac selepas struktur itu dirempuh sebuah lori pada 18 Mac lalu.

“Pemandu lori yang tidak membawa sebarang muatan itu dipercayai melanggar tiang halangan kenderaan berat menyebabkan struktur berkenaan terbalik dan patah. 

“Kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan selain kemudahan awam,” katanya.

Choon Foo berkata, pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan berat perlu lebih peka dan mematuhi isyarat lalu-lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana mengabaikan isyarat lalu-lintas.

“Pemandu boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 selain kompaun RM300 bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, gara gara tidak memberi perhatian semasa memandu, sebuah lori merempuh palang penghadang yang dipasang bagi mengelak kemasukan kenderaan berat di laluan sementara Projek LTU dekat Taman Wangi pada 18 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, palang tersebut tumbang dilanggar sebuah lori membawa muatan pendingin hawa yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN