Kurangkan ‘bergaduh’, tingkat prestasi - Anh Tuan

Kurangkan ‘bergaduh’, tingkat prestasi – Anh Tuan

Hoang Anh Tuan (kanan) dan jurulatih pasukan negara, E. Elavarasan dalam sidang akhbar di Rayong, Thailand semalam menjelang pertemuan separuh akhir Kejohanan AFF B-23 hari ini. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan C dan memenangi kedua-dua perlawanan mereka, namun pengendali Vietnam, Hoang Anh Tuan kecewa dengan aksi pemainnya ketika mengalahkan Filipina 1-0 kelmarin.

Anh Tuan berkata, pemainnya bergelut sepanjang perlawanan dan sering melakukan provokasi tidak sepatutnya sehingga pertemuan itu menjadi amat tegang, perkara yang harus dielakkan apabila menentang Malaysia dalam separuh akhir di Rayong, Thailand hari ini.

Kata Anh Tuan, biarpun misi utamanya dalam Kejohanan AFF bawah 23 tahun (B-23) adalah memberi sebanyak mungkin pendedahan kepada pemain sebelum beraksi di pentas Asia, namun dia mahu Vietnam mengalahkan Malaysia, apatah lagi mereka turun dengan status juara bertahan.

“Saya tidak gembira (menentang Filipina), ia perlawanan yang perlu segera dilupakan.

“Saya memberitahu pengadil, saya mahu Nguyen Van Truong dibuang padang. Saya tidak menyokong sedikit pun perbuatannya (bergaduh dengan pemain lawan), itu bukan bola sepak. Bola sepak adalah bermain, bukan bergaduh,” katanya.

PEMAIN Vietnam ketika meraikan kemenangan ke atas Filipina kelmarin. – IHSAN VIETNAM FOOTBALL

Pada minit ke-82 Van Truong ditepis dari belakang oleh pemain lawan, Justin Faris, dan dia yang hilang sabar menarik baju Faris sehingga terpaksa ditenangkan pemain lain. Pengadil memberikan kedua-duanya kad kuning.

Pada masa tambahan Van Truong terus bertembung de­ngan Faris, tetapi bernasib baik kerana tidak mendapat kuning kedua.

Anh Tuan melemparkan botol airnya ke tanah kerana kecewa dan menjerit meminta pemainnya bertenang walaupun lawan melakukan terjahan keras ke atas mereka.

“Walaupun kami menang dan mara ke separuh akhir, tiada apa yang dapat diingati tentang perlawanan ini. Terdapat terlalu banyak detik panas yang tidak perlu pada separuh masa kedua dan saya langsung tidak menyukainya.

“Mengenai perlawanan separuh akhir, Malaysia pasukan yang kuat saya tidak terlalu fikir tentang lawan, saya hanya risau dengan prestasi pemain kami sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN