LONDON: Kontrak tiga tahun bernilai AS$240 juta (RM1.16 bilion), jet peribadi atau tiket kapal terbang tanpa had antara yang ditawarkan kelab Arab Saudi, Al-Ittihad untuk memancing bintang Liverpool, Mohamed Salah.
Biarpun portal sukan Sepanyol, Relevo mendakwa Salah bersetuju dengan tawaran tersebut, namun Reds tidak akan melayani sebarang percubaan untuk mendapatkan penyerang Mesir berusia 31 tahun itu.
Al-Ittihad mahu menjadikan Salah penerima gaji tertinggi Liga Pro Saudi, mengatasi Cristiano Ronaldo, Neymar dan Karim Benzema.
Menurut Relevo, selain tawaran ‘luar biasa’ Ittihad, Salah berminat dengan idea perpindahan ke Arab Saudi kerana persekitaraan negara itu sesuai dengan kepercayaannya sebagai seorang muslim.
Ittihad yang dibimbing bekas pengurus Tottenham dan Wolverhampton, Nuno Espirito Santo sudahpun mengikat pemain tengah Liverpool, Fabinho.

Begitupun menurut Sport Zone, Salah tidak akan mendesak Liverpool melepaskannya, sebaliknya terbuka dengan sebarang keputusan yang dibuat gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Selain gaji mencecah 100 juta pound (RM586 juta), jet peribadi dan tiket kapal terbang tanpa had termasuk untuk ahli keluarganya, Salah turut ditawarkan menjadi duta pelancongan dan pelaburan Arab Saudi.
Secara keseluruhan perjanjian itu akan mengatasi 173 juta pound (RM1.01 bilion) yang dinikmati Ronaldo di Al-Nassr.

Salah juga berpeluang memiliki saham pasukan pada masa akan datang, situasi sama seperti dialami David Beckham ketika dia menyertai Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) pada 2007.
Bekas bintang tengah England itu meninggalkan Real Madrid untuk ke LA Galaxy dengan sebahagian daripada perjanjiannya ialah dia boleh menubuhkan pasukannya sendiri.
Beckham menubuhkan Inter Miami dan dalam tempoh yang singkat mula mencipta sensasi dengan menandatangani Lionel Messi. – AGENSI