PETALING JAYA: “Panggilan pemain atas budi bicara jurulatih, siapa pemain dia nak dan pemain mana dia berasa perlu”.
Penegasan itu disuarakan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan peminat yang mempertikai senarai pemain yang dipanggil Kim Pan Gon bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa, bulan depan.
Terdahulu, segelintir peminat membangkitkan rasa kurang senang apabila pengendali dari Korea Selatan itu menyenaraikan Junior Eldstal berbanding pemain lebih layak susulan pemain Dewa United itu dilihat lebih banyak berada di bangku simpanan bersama kelab dari Indonesia berkenaan.
Bagaimanapun, Jamal menegaskan bahawa semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada Pan Gon untuk membentuk skuad terbaik Harimau Malaya sebelum aksi sebenar di pusingan akhir Piala Asia, Januari tahun depan.
Jelasnya, Pan Gon lebih mengetahui faktor barisan pemain yang dipanggil bagi aksi persahabatan berdepan Syria dan China pada 6 dan 9 September ini di Chengdu, China.

“Panggilan pemain atas budi bicara jurulatih, siapa pemain dia nak dan pemain mana dia berasa perlu. Kita bagi Pan Gon kuasa penuh bentuk pasukan, yang penting sasaran utama dia bukan aksi persahabatan ini tetapi untuk Piala Asia.
“Jadi kalau kita tak bagi dia ruang untuk memilih, susahlah sebab dia lebih tahu dan dia yang pantau semua pemain. Kita orang luar ini tahu komen sahaja, macam netizen hanya tengok sahaja.
“Sama seperti Junior, ada yang kata tak patut panggil. Namun itu pandangan kita, pada pandangan dia (Pan Gon) mungkin ada benda yang diharapkan dari pemain itu.
“Kita bagi dia buat pilihan siapa pemain yang dia nak. Sama ada pemain itu cukup minit permainan atau tidak atas budi bicara dia, sebab dia lebih tahu,” katanya.
Berdasarkan senarai 26 pemain yang diumumkan kelmarin, Pan Gon mengekalkan 15 daripada 26 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat di Kuala Terengganu, Jun lalu termasuk Faisal Halim yang baharu tamat tempoh penggantungan.
Dalam pada itu, Jamal menganggap Faisal berhak berada dalam skuad Harimau Malaya meskipun tidak mendapat minit permainan susulan penggantungan sebulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berakhir, kelmarin.
“Saya fikir (penggantungan) itu tak jadi masalah sebab dia (Faisal) boleh berlatih, hanya tak boleh bermain. Kita kena bagi peluang dan dia pun mungkin nak buktikan bahawa walaupun tak ada minit permainan sebulan dia masih boleh beraksi dengan baik,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE