PETALING JAYA: “Terima kasih kepada penyokong (Malaysia) yang selalu sokong kita dan insya-Allah kita akan layak ke final.”
Kata-kata Fergus Tierney dalam bahasa Melayu yang fasih sejurus Malaysia mengalahkan Indonesia 2-1 pada aksi pembukaan Kejohanan AFF Bawah-23 (B-23) kelmarin mencuri tumpuan.
Dengan wajah ‘Mat Salleh’ tipikal, di mana bapa dan ibunya berbangsa Scotland, ramai menjangkakan pemain kelahiran Glasgow berusia 20 tahun itu hanya tahu berbahasa Inggeris.
Begitupun, Tierney, 20, tidak hanya memikat penyokong Malaysia dengan kehebatan di atas padang apabila meledak kedua-dua jaringan di Rayong, malah kebolehannya berbahasa Melayu meraih banyak pujian.
Biarpun tidak mempunyai darah Melayu, namun Tierney banyak dibesarkan di Malaysia kerana bapanya, Martin Tierney adalah bekas pemain PDRM FC dan Pulau Pinang, malah menjadi pengulas bola sepak di saluran Astro, SuperSport.
Fergus Tierney ⚽️ 54' (P) ⚽️ 62' 🔥🔥
MALAYSIA 🇲🇾 2-1 🇮🇩 INDONESIA#FAM #HarimauMalaya #AFFU23 pic.twitter.com/mB3PVAvJsJ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 18, 2023
Dalam perlawanan kelmarin, Indonesia tampil lebih agresif dan menenggelamkan Malaysia pada babak pertama selepas membuka jaringan menerusi penyerang berbisa mereka, Ramadhan Sananta pada minit ke-28.
Menyedari kelemahan ketara skuad negara di posisi serangan, Elavarasan menukar strategi memasukkan beberapa pemain, termasuk Tierney pada babak kedua untuk menjadikan jentera Harimau Malaya muda lebih tajam.
Hasilnya, penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu berjaya meledak dua gol pada minit ke-54 (penalti) dan 62, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
“Saya agak emosi kerana kami menentang pasukan yang baru memenangi pingat emas Sukan SEA. Dan Indonesia sentiasa sukar untuk dilawan. Tetapi kami yakin kami boleh melakukan ini.
“Sebelum perlawanan bermula, jurulatih sudah berpesan kepada saya untuk bersedia dibawa masuk pada separuh masa kedua kerana mahu memberi impak dari bangku simpanan.
“Pada saya ia adalah perancangan atau idea yang baik daripada beliau dan segalanya berjalan dengan lancar untuk perlawanan ini.
“Kami hendak menang, terutama sekali untuk perlawanan kedua nanti kerana kami perlu menang bagi memastikan kami turut menjuarai saingan kali ini,” tambah Tierney.
Malaysia akan menentang Timor Leste dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Selasa ini.
Keputusan seri memadai untuk Malaysia layak ke separuh akhir.