PETALING JAYA: Sama ada mahu meredakan tekanan atau bermain psikologi menjelang aksi pembukaan menentang Malaysia malam ini, pengendali Indonesia, Shin Tae Yong menegaskan, sasaran utama mereka bukan Kejohanan AFF Bawah 23 tahun (B-23).
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sebaliknya berkata, Piala Asia B-23 di Qatar yang akan berlangsung dari 15 April hingga 3 Mei tahun depan adalah fokus utama skuad Garuda Muda.
“Sasaran saya sebenarnya Piala Asia B-23 Qatar tetapi dalam AFF ini saya akan cuba melakukan sesuatu dan mencuba pemain baharu,” kata Tae Yong dalam sidang akhbar di Rayong, Thailand semalam.
Tae Yong juga mengulangi, skuad Garuda Muda hadir di Thailand tanpa kekuatan terbaiknya kerana ramai tonggak tidak dibawa bersama.

Dua penyerang utama mereka, Marselino Ferdinan dan Asraf Huwaidi Syam, selain Rizky Ridho (pertahanan) serta Fajar Fathur Rahman (tengah) antara tonggak Sukan SEA yang tiada dalam pasukan kali ini.
Indonesia yang merangkul pingat emas pada temasya di Kemboja, Mei lalu juga beraksi tanpa dua pemain tengah yang berpangkalan di Belanda, Ivar Jenner (tengah) dan Rafael Struick (serangan).
Bagaimanapun, terdapat beberapa pemain yang membantu mereka meraih pingat emas di Kemboja menguatkan cabaran di Thailand iaitu Ramadhan Sananta, Beckham Putra, Alfeandra Dewangga dan Komang Teguh Trisnanda.
“Disebabkan banyak perlawanan yang menanti, saya perlu mengatur program bersama PSSI (Persatuan Bola Sepak Indonesia) dengan baik.
“Fokus saya sekarang ialah kelayakan Piala Asia B-23 bulan depan untuk memasuki Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan,” tambahnya.