Azeem sedia beraksi di Jerman

Azeem sedia beraksi di Jerman

Muhammad Azeem Fahmi sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Kejohanan Universiti Dunia di Rhine-Ruhr, Jerman pada 16 hingga 27 Julai ini. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui berada dalam keadaan terbaik apabila memasuki fasa akhir persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Universiti Dunia di Rhine-Ruhr, Jerman pada 16 hingga 27 Julai ini.

Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan masa 10.09 saat (s) berkata, segala persiapannya berjalan dengan lancar dan tumpuannya kini terarah kepada Kejohanan Universiti Dunia.

“Alhamdulillah, persediaan berada dalam sangat baik. Saya juga sudah memulakan latihan blok sebagai persiapan bagi menghadapi Kejohanan Universiti Dunia. Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya berada dalam kondisi terbaik.

“Tiada sebarang kecederaan dan kesihatan juga berada dalam baik. Fokus saya kini kepada latihan dan saya berharap dapat melakukan larian lebih baik di Kejohanan Universiti Dunia,” katanya.

Katanya lagi, Azeem mempunyai beberapa misi yang mahu dilakukannya pada musim ini, salah satunya memperbaharui catatan terbaiknya selepas melakukan 10.20s ketika beraksi dalam saingan suku akhir Kejohanan NCAA Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat (AS), Mei lalu.

“Saya juga berusaha untuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia di Jepun pada 13 hingga 21 September ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Sukan SEA Thailand 2025, Azeem turut mengakui dia bukan sahaja bakal menerima tentangan sengit daripada pelari Thailand dan Indonesia tetapi juga rakan senegaranya.

“Dalam Malaysia pun, seperti kita tahu, Danish (Iftikhar Muhammad Roslee) mencatat 10.32s. Satu petanda yang bagus untuk kem pecut negara untuk ada pelapis bagus. Saya rasa ia amat bagus, menarik dan mencabar. Persaingan yang sengit,” katanya.

Sebagai rekod, catatan yang dilakukan Danish itu dibuat ketika beraksi di Kejohanan Trek dan Balapan Varisiti (VTF) sekali gus memecahkan rekod 100m kejohanan di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Nerus, Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN