PMCK tampil 23 sen sesaham di Pasaran ACE, premium 1 sen

PMCK tampil 23 sen sesaham di Pasaran ACE, premium 1 sen

PMCK membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PMCK Berhad (PMCK), penyedia penjagaan kesihatan swasta berpangkalan di Alor Setar, Kedah membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. pada 23 sen sesaham, premium 2.27 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 22 sen sesaham.

Melalui penyenaraian itu, syarikat berjaya meraih dana sebanyak RM59.97 juta menerusi terbitan awam 272.6 juta saham biasa baharu pada harga 22 sen sesaham.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50 juta akan digunakan untuk menyokong pembinaan Pusat Perubatan Kulim (PMC Kulim), khususnya bagi pembayaran balik pinjaman bank yang akan diambil untuk membiayai pembangunan strategik berkenaan.

Langkah itu selaras dengan peluasan operasi syarikat bagi memenuhi keperluan serta permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Sebanyak RM3.83 juta turut diperuntukkan untuk pembelian peralatan klinikal seperti automated clinical chemistry analyser, immunoassay analyser, sistem mamografi dan Sistem Arkib serta Komunikasi Gambar (PACS).

Seiring dengan komitmen terhadap kelestarian, sebanyak RM1.5 juta akan digunakan bagi menggantikan dan menaik taraf sistem panel solar sedia ada kepada kapasiti tenaga 625 kilowatt (kW).

Pengarah Urusan PMCK, Datuk Lee Gaik Cheng berkata, penyenaraian tersebut tidak akan mengubah asas model perniagaan syarikat yang telah dilaksanakan sejak lebih tiga dekad lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan segelintir Ahli Parlimen agar hospital tidak disenaraikan di pasaran saham bagi mengelak penjagaan kesihatan berorientasikan keuntungan.

Bagaimanapun katanya, model perniagaan PMCK tidak menggambarkan kebimbangan yang dibangkitkan sesetengah pihak.

“Penyenaraian ini bukan bermaksud kami akan berubah haluan. Kami kekal komited menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mampu milik dan mudah diakses rakyat,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di sini, semalam.

Menurut beliau, PMCK kekal berpegang kepada prinsip menawarkan perkhidmatan yang berteraskan kepentingan rakyat, bukan semata-mata mengejar keuntungan.

Mengulas unjuran pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 3.8 peratus bagi tahun kewangan 2024 hingga 2027 oleh penganalisis, beliau percaya syarikat mampu mengatasi jangkaan tersebut.

“Unjuran yang lebih rendah itu mungkin disebabkan impak banjir besar pada 2025 yang menyebabkan ramai pesakit menangguhkan rawatan kerana memberi keutamaan kepada pembaikan rumah dan perbelanjaan keluarga.

“Namun, kadar pesakit yang kembali mendapatkan rawatan kini telah mencecah 86 peratus, selain penyertaan syarikat dalam Program Penyumberan Luar Perkhidmatan Hospital (HSOP) yang dijangka menyokong prestasi suku-suku seterusnya,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2026, kadar penggunaan katil bagi pesakit bermalam dijangka berada pada paras 70 hingga 80 peratus, manakala kadar penggunaan keseluruhan termasuk kes rawatan harian dijangka melebihi 90 hingga 95 peratus, selaras dengan sasaran syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×