ALOR SETAR: Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu mengesahkan kejuaraan Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula memasang impian untuk menjadi pasukan pertama mencuri mata daripada Harimau Selatan dalam pertembungan, esok.
Menurut Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun dalam bola sepak tiada perkara mustahil untuk dilaksanakan.
“Kita tahu bukan mudah apatah lagi melihat bagaimana mereka jaring gol dengan jumlah besar tanpa kasihan dalam setiap perlawanan. Tetapi apa yang lebih penting adalah kita cuba untuk bersaing dan kalau bernasib baik boleh dapat tiga mata.
“Saya rasa kedua-dua pasukan tiada tekanan dan perlawanan esok akan berlangsung cukup menarik. Kita akan cuba dapatkan tiga mata tetapi kalau dapat satu pun sudah baik,” katanya di sini, hari ini.
Nafuzi memaklumkan, beliau kehilangan seorang pemain yang cukup penting dalam pertemuan berkenaan iaitu pertahanan kiri, Ariff Farhan Md. Isa kerana menjalani penggantungan.
“Ariff pemain yang sangat penting buat kami musim ini kerana dia bermain untuk tempoh 90 minit dalam hampir semua perlawanan. Jadi saya kena fikirkan penggantinya.
“Saya yakin setiap pemain yang diturunkan akan memberi aksi terbaik apatah lagi ketika mereka diberi peluang bertemu pasukan kuat seperti JDT,” katanya.
Sementara itu, pertahanan kanan Sang Kenari, Wan Amirul Afiq berkata, rakan sepasukannya berada dalam mood terbaik untuk menentang JDT.
“Saya fikir semua pemain mahukan kemenangan atau setidak-tidaknya seri menentang pasukan kuat seperti JDT. Insya-Allah kami akan berikan tentangan buat pasukan itu.
“Berdepan pasukan sekuat JDT, sudah tentu tinggi tekanannya kerana banyak pihak yang harap kami mampu buat sesuatu. Insya-Allah kami akan atasi tekanan itu dan saya harap kehadiran penyokong membantu memberi semangat kepada kami di laman sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE