Harimau Malaya mangsa dominasi penyerang import

Harimau Malaya mangsa dominasi penyerang import

KIM Pan Gon mahu terus kekal bersama Harimau Malaya bagi mencapai sasaran membawa Malaysia ke Piala Asia 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan penyerang tulen tempatan yang membarisi lima kedudukan teratas penjaring terbanyak Liga Super pastinya memeningkan kepala Kim Pan Gon untuk memilih penggempur Harimau ­Malaya.

Biarpun skuad kebangsaan mencatat peningkatan dalam ranking dunia, masalah ketiadaan penyerang tulen perlu diambil serius kerana gol Malaysia lebih banyak disumbangkan pemain dari bahagian lain.

Berdasarkan senarai penja­ring Liga Super, lima kedudukan teratas dikuasai pemain import, diketuai penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri dengan 17 gol dan penyerang Selangor, Ayron Del Valle dengan 15 gol.

Penyerang tempatan di kedudukan tertinggi ialah ­Fai­sal Halim, di kedudukan keenam dengan lapan gol, manakala pemain naturalisasi, Paulo Josue yang beraksi untuk Kuala Lumpur City ke-10 dengan tujuh gol.

FERNANDO Forestieri mengetuai senarai penjaring terbanyak Liga Super.

“Kalau kita tengok, boleh kata 90 peratus pasukan guna penyerang import, jadi daripada mana nak ada pemain tempatan di bahagian serangan.

“Semua pemilik ghairah nak menang sampai liga bawah 23 tahun pun hantar penyerang import bermain.

“Di mana letaknya program pembangunan? Saya rasa FAM sedar tentang perkara ini.

“Ia sudah berlarutan lama dan apa salahnya kalau kita kaji dan tengok negara seperti Thailand dan Vietnam, mereka ada penyerang tempatan yang baik,” kata bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Azraai Khor Abdullah kepada Utusan Malaysia.

FAISAL Halim muncul penjaring tempatan terbanyak.

Memasuki September ini, Harimau Malaya memasuki jadual padat dengan aksi persahabatan Tier 1 menjadi permulaan sebelum Pestabola Merdeka pada Oktober dan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November selain Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun hadapan.

Mengenai perlawanan persahabatan Tier 1, Azraai berkata, keputusan FAM yang memilih China dan Syria sebagai lawan Harimau Malaya bulan depan menepati standard dan lawan yang tepat untuk menguji anak-anak buah Pan Gon.

Katanya, perlawanan persahabatan Tier 1 yang akan berlangsung di Chengdu, China itu juga diyakini menjadi persiapan terbaik skuad negara untuk mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun hadapan.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikemas kini pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di tangga ke-136 dunia, sementara Syria ke-94 dan China ke-80 dunia.

“Bagi saya, pemilihan China dan Syria ini sekurang-kurangnya mencapai standard yang akan menjadi satu ujian terbaik kepada pasukan kebangsaan sebelum beraksi di kelayakan piala dunia dan Piala Asia 2027 selain Piala Asia 2023 di Qatar.

PENJARING TERBANYAK LIGA SUPER
1. Fernando Forestieri (JDT) – 17 gol
2. Ayron Del Valle (Selangor) – 15 gol
3. Bergson Da Silva (JDT) – 11 gol
4. Kpah Sherman (Sri Pahang) – 10 gol
5. Abu Kamara (Kuching City) – 9 gol
6. Faisal Abdul Halim (Selangor) – 8 gol
7. Stefano Brundo (Sri Pahang) – 8 gol
8. William Lira (KDA FC) – 8 gol
9. Diogo (JDT) – 7 gol
10.Paulo Josue
(KL City) – 7 gol

PENJARING TERBANYAK LIGA MFL
Gabriel Nistelrooy (JDT II) – 12 gol
Ebenezer Assifuan (KDA B) – 11 gol
Chukwu Chijioke (PDRM) – 9 gol

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN