Endo bukan 'cap ayam', miliki pakej sempurna - Klopp

Endo bukan ‘cap ayam’, miliki pakej sempurna – Klopp

WATARU Endo menandatangani kontrak empat tahun bersama Liverpool.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jurgen Klopp mempertahankan pembelian Wataru Endo dengan menegaskan, Li­verpool menandatangani pemain bijak yang memiliki pakej sempurna.

Kelmarin, Reds mengesahkan kehadiran mengejut Endo dari Stuttgart, di mana kapten Jepun itu menandatangani kontrak selama empat tahun.

Ramai yang menganggap kehadiran pemain berusia 30 tahun tersebut sebagai ‘tangkap muat’ selepas Liverpool gagal mendapatkan Moises Caicedo dan Romeo Lavia.

Kedua-dua bintang muda itu menolak peluang berpindah ke Anfield, sebaliknya menyertai saingan Chelsea dengan yuran gabungan 173 juta pound (RM1 bilion).

“Saya sangat gembira kerana akhirnya boleh mengumumkan kami melakukan satu perjanjian dengan kelab dan pemain, yang sangat bagus. Saya sangat gembira kerana mempunyai Wataru.

“Saya berasal dari Jerman, saya banyak menonton Bundesliga, jadi saya amat mengena­linya sejak dia tiba di Stuttgart.

“Saya sangat menyukainya sejak awal lagi apabila dia mula bermain di sana. Seperti yang saya katakan, saya sentiasa menyukainya.

“Benar, minggu lepas jelas satu ­minggu yang sukar, tidak syak lagi tentang itu. Apabila anda mempunyai masalah, anda boleh berpegang kepada masalah atau mencari penyelesaian.

“Saya lebih gembira mendapat penyelesaiannya dan ia keputusan yang sangat baik,” kata Klopp kepada Sky Sports.

Klopp menegaskan, Endo yang diberikan jersi No. 3 ­sangat berbakat dan sesuai buat pasukannya.

“Saya tahu dalam du­nia bola sepak hal seperti ini boleh berlaku (gagal mendapatkan pemain sasaran) tetapi lihatlah, kami membeli Wataru ­kerana dia pemain yang cemerlang.

“Dia amat berpengalaman, kapten Stuttgart, kapten Jepun, mampu bercakap bahasa Ing­geris dengan baik, lelaki yang baik secara individu dan keluarga, jentera di atas padang, sikap-sikap yang dipuji.

“Dia memiliki pakej sempurna,” katanya.

Menurut Klopp, Endo bukan sahaja mampu bermain baik di posisi te­ngah bertahan, malah boleh bertindak sebagai per­tahanan tengah.
– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN