RIYADH: Pengarah Liga Profesional Arab Saudi (SPL), Michael Emenalo melaungkan amaran, kelab-kelab Arab akan memburu pemain muda dan bukan tempat persaraan bintang bola sepak dunia.
Setakat ini, Liga Pro Saudi telah menarik pemain ternama seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Jordan Henderson, namun kini mereka mahu bintang berpengaruh dalam usia 20-an.
Usaha Al-Hilal memancing bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dan penyerang Napoli, Victor Osimhen yang dalam lingkungan 20-an adalah citarasa yang dimahukan peminat Arab Saudi.
“Semua kelab SPL akan meningkatkan usaha menarik pemain terbaik dunia ke liga ini tanpa mengira umur.
“Ronaldo pemain kelas dunia yang masih di tahap terbaik pada usia 38 tahun. Kemudian kami dapat pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema yang tiga tahun muda daripadanya serta (Riyad) Mahrez yang muda setahun daripada Benzema.
“Kami juga ada Ruben Neves yang baru berusia 26 tahun, jadi saya rasa ramai pihak cepat membuat rumusan bahawa liga ini tempat persaraan.
“Idea membawa masuk bintang-bintang ini adalah bagi membangunkan pemain tempatan.
“Pemain yang hampir ke fasa persaraan tidak boleh lakukan semua itu dan saya tidak benarkan,” katanya. – AGENSI