SAN DIEGO, Amerika Syarikat: Manchester United enggan membayar lebih daripada 60 juta pound (RM351 juta) untuk penyerang Atalanta, Rasmus Hojlund, menurut sumber kepada ESPN.
United menjadikan pemain Denmark itu sebagai sasaran utama apabila pengurus, Erik ten Hag ingin menambah sengat di jentera serangan, namun wang besar memisahkan perpindahan tersebut.
Atalanta berminat menerima pulangan signifikan untuk pemain berusia 20 tahun itu kerana dia masih berada di bawah kontrak sehingga 2027.
Bagaimanapun, di pihak United, mereka merasakan penilaian melebihi 85 juta pound (RM498 juta) tidak menggambarkan kenyataan Hojlund yang masih belum bermain 100 perlawanan, malah musim lalu dia hanya menjaringkan sembilan gol dalam Serie A.
Unit perekrutan telah mengenal pasti penyerang Eintracht Frankfurt, Randal Kolo Muani sebagai alternatif, namun United juga akan mempertimbangkan beberapa penyerang selain pemain No. 9 itu.
Ten Hag juga berminat dengan Muhammad Kudus di Ajax yang dilihat mampu mengisi peranan di barisan hadapan, malah Red Devils sedang meneroka kemungkinan mengukuhkan minat mereka terhadap pemain berusia 22 tahun itu yang menjaringkan 18 gol musim lalu.
Bercakap di San Diego pada jelajah pramusim Amerika Syarikat, Ten Hag berkata, proses membawa masuk penyerang baharu berada di arah yang betul, namun dia mahu perkara itu selesai dengan cepat.
“Kami sedang melakukan kemajuan, ya. Kami tahu bagaimana ia berfungsi dan apabila kami memilikinya, kami akan maklumkan terus kepada anda.
“Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah, kami lakukan segala-galanya dengan kuasa yang ada.
“Ya, secepat mungkin, dan lebih awal lebih baik, kerana kami perlu menyesuaikan dia dengan pasukan dan cara kami bermain,” kata Ten Hag pada sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Wrexham, kelmarin. – AGENSI