Selama ini, denim cukup sinonim dengan seluar dan jaket yang menjadi pelengkap gaya kasual lelaki serta wanita.
Materialnya yang tahan lama dan mudah digayakan menjadikannya antara pilihan paling praktikal dalam dunia fesyen.
Bagi memberi sentuhan baharu kepada fabrik itu, Dr Cardin memperkenalkan rekaan sneakers berasaskan denim.
Langkah berani itu sekali gus menjadikannya sebagai jenama kasut tempatan pertama yang merintis idea tersebut.

Ketua Pegawai Penjenamaan Dr Cardin, Chong Charl Yee berkata, koleksi The Origin Heritage menampilkan rekaan moden dan versatil.
“Pada mulanya kami agak risau untuk menggunakan denim kerana tidak mahu kelihatan terlalu rugged memandangkan kasut ini direka bercirikan uniseks.
“Tetapi selepas melihat hasil rekaan yang siap, kami yakin dengan keputusan dibuat,” katanya ketika majlis pelancaran baru-baru ini.
Turut dilancarkan pada acara tersebut adalah sneakers drift ballet yang menjadi kegilaan ramai.

Menariknya, kasut itu direka dengan ciri khas iaitu saiz yang lebih lebar daripada rekaan seumpamanya di pasaran.
“Kami mendengar keluhan ramai tentang saiz sneakers ballet di pasaran yang agak kecil dan tidak sesuai dengan bentuk kaki rakyat Malaysia.
“Jadi kami hasilkan rekaan mengikut saiz orang kita agar di samping menambah dwi-span yang empuk agar lebih selesa ketika dipakai,” kongsinya.
Dr Cardin turut melancarkan satu lagi koleksi iaitu sneakers drift bersifat uniseks yang sesuai digayakan ketika beriadah atau melakukan aktiviti harian.
Bagi melengkapkan gaya, padankan dengan koleksi beg tangan baharu iaitu era dan dome.










