KOTA BHARU: Legenda bola sepak Kelantan, Wan Ezila Daud menggesa tokoh korporat negeri itu agar bersatu menubuhkan konsortium untuk menyelamatkan The Red Warriors (TRW).
Bekas bintang tengah era 1980-an dan 1990-an itu berkata, gabungan tokoh-tokoh ini boleh membeli pegangan saham daripada pemilik TRW, Norizam Tukiman.
Katanya, penubuhan konsortium menjanjikan kewangan lebih stabil, dan Kelantan FC kemudian boleh melantik seorang ketua yang mempunyai pengalaman bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri.
“Paling penting sekarang, selamatkan pasukan dahulu. Perkuatkan kembali dan buka ruang untuk bakat tempatan membina karier bola sepak mereka serta ambil import yang betul-betul boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan.
“Sayang kalau Kelantan FC tidak diselamatkan kerana ia mempunyai sejarah panjang sebagai antara pasukan terbaik dalam arena bola sepak Malaysia,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pada 2020, Norizam diangkat sebagai ‘hero’ apabila membeli TRW yang ketika itu dibebani masalah hutang daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan nilai RM6.8 juta.
Begitupun beliau kini dikecam gara-gara isu tunggakan gaji, selain prestasi buruk Kelantan FC yang menghuni tangga tercorot Liga Super.
TRW yang sudah bertukar tiga jurulatih musim ini gagal memikat ramai penonton ke stadium biarpun menawarkan diskaun sehingga RM3 ketika bertemu Sri Pahang, 23 Jun lalu, sekali gus menyebabkan pendapatan mereka semakin terjejas.