KUALA LUMPUR: Hanya seminggu selepas mengutip mata Liga Super pertama mereka dalam tempoh empat bukan, Kelantan FC kembali dirundung malang apabila dibenam 5-1 oleh Kuala Lumpur City (KL City) di Cheras, sebentar tadi.
KL City nyata tiada masalah untuk memulakan ‘hidup’ tanpa jurulatih mereka, Bojak Hodak yang meninggalkan skuad The City Boys, Khamis lalu.
The Red Warriors (TRW) yang mengikat Kuching City 2-2 dalam perlawanan liga terakhir minggu lalu memulakan permainan dengan meyakinkan apabila mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pantas Leornado Rolon seawal minit ketiga hasil sepakan bebas.
Begitupun, sebaik sahaja KL City menemui rentak, Kelantan FC bagaikan hilang punca sehingga tamat perlawanan.
Rembatan Zhafri Yahya pada minit ke-26 memberi gol penyamaan buat KL City, dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak kedua.
Memasuki babak kedua, KL City mengganas dengan menambah empat lagi gol, di mana tiga jaringan itu dihasilkan oleh Romel Morales.
Morales meledak hatrik pada minit ke-47, 65 dan 91 untuk memastikan kemenangan besar skuad warga kota, manakala pemain sayap, J. Parthiban pada minit ke-85.
Kemenangan itu menyaksikan KL City memintas Terengganu di kedudukan keenam liga dengan mengumpul 28 mata selepas mengharungi 18 perlawanan manakala Kelantan pula kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip lima mata. – UTUSAN ONLINE