PETALING JAYA: Kurang 48 jam selepas meninggalkan Negeri Sembilan, pertahanan kental Singapura, Safuwan Baharudin mengesahkan kembali ke pangkuan Selangor.
Bek tengah berusia 31 tahun itu meninggalkan Red Giants akibat kecederaan musim lalu, namun akan menyarung semula jersi Merah Kuning selepas melengkapkan perpindahan.
Safuwan amat teruja apabila dapat menyertai semula Selangor dan berazam untuk membantu skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“Saya kenal hampir semua pemain Selangor FC sepanjang tiga tahun bersama, jadi tiada masalah dari segi komunikasi.
“Saya harap serasi dengan pemain import baharu dan pemain tempatan baharu,” katanya.
Kelmarin, Negeri Sembilan mengumumkan Safuwan bukan lagi pemain mereka selepas mendapat persetujuan pihak pengurusan untuk meninggalkan pasukan di pertengahan musim ini.
Difahamkan, Safuwan hanya menandatangani kontrak enam enam bulan bersama Negeri Sembilan atas faktor kecederaan dan pemain itu tidak membaharui kontraknya.
Sebelum ini, ada pihak mengaitkan Safuwan dengan perpindahan ke kelab liga utama Thailand, BG Pathum United dan Nakhon Pathom United, namun dia memilih Selangor. – UTUSAN ONLINE