FORT LAUDERDALE, Florida: Minggu lalu, peminat bola sepak menunggu sehingga 94 minit untuk melihat Lionel Messi meledak gol pertama bersama pasukan baharunya di Amerika Syarikat (AS), Inter Miami.
Dalam perlawanan Piala Liga menentang Atlanta United hari ini, bintang penyerang Argentina itu menjaringkan dua gol dalam tempoh 22 minit pertama untuk membantu Miami membelasah Atlanta United 4-0.
Diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama, Messi turut mencipta gerakan untuk gol ketiga pasukannya.
Pada minit kelapan, Messi menyambut hantaran rakan sepasukan, Sergio Busquets dan melakukan rembatan yang terkena tiang kanan sebelum menyudahkan bola lantun.
Kemudian, pada minit ke-22, dia menggandakan kedudukan Miami 2-0 selepas menyempurnakan hantaran Robert Taylor.
Taylor ➡️ Messi for his second of the night to double the lead in the 22nd minute 👏#MIAvATL | 2-0 pic.twitter.com/bVvzkLJdDA
— Inter Miami CF (@InterMiamiCF) July 26, 2023
Messi, 35, mengharungi detik yang menakjubkan dalam tempoh singkat bersama Miami.
Pemenang anugerah Ballon d’Or tujuh kali itu diturunkan dari bangku simpanan pada minit ke-54 dalam penampilan sulungnya bersama Miami, Jumaat lalu.
Pada minit ke-94 ketika menentang Cruz Azul dari Mexico dalam Piala Liga, Messi menyempurnakan sepakan percuma yang membantu Miami memenangi perlawanan di hadapan 21,000 penonton. – AGENSI