PARIS: Masa depan Kylian Mbappe bersama Paris Saint-Germain (PSG) terus menimbulkan tanda tanya selepas juara Perancis itu menyisihkan namanya daripada skuad jelajah pramusim ke Jepun dan Korea.
PSG tidak memberi alasan mengapa tidak menyenaraikan kapten Perancis itu, namun ia memberi isyarat penyerang berusia 24 tahun tersebut ‘sedia untuk dijual’.
Adik Mbappe, Ethan, 16, dan bintang Brazil, Neymar antara yang berada dalam skuad 29 pemain tersebut.
Mbappe terlibat dalam persiapan pramusim sebelum ini apabila beraksi pada 30 minit terakhir ketika PSG menewaskan Le Havre 2-0 di padang latihan semalam, malah turut meledak gol.
Mei lalu, Mbappe mengesahkan tidak akan melanjutkan kontraknya bersama PSG yang kan tamat tahun depan tetapi masih mahu beraksi buat juara Perancis pada musim terakhirnya.

“Saya masih mempunyai baki setahun kontrak dan akan menghormati kontrak itu,” katanya ketika itu,
Situasi tersebut membolehkannya menjadi ejen bebas pada musim panas seterusnya sekali gus meninggalkan PSG secara percuma.
Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi dalam reaksi balasnya awal bulan ini menyatakan bahawa Mbappe mesti menandatangani kontrak baharu.
“Kami tidak boleh membiarkan pemain terbaik dunia ketika ini meninggalkan kelab secara percuma. Ia mustahil,” kata Khelaifi.
Sepanjang Jelajah Asia, PSG akan menentang kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr dari Arab Saudi di Osaka pada 25 Julai.
Pasukan itu kemudian menentang Cerezo Osaka, juga di Osaka dan Inter Milan di Tokyo sebelum menamatkan siri jelajah di Busan, Korea Selatan dengan menentang Jeonbuk Motors pada 3 Ogos. – AGENSI