Malaysia bukan tidak bagus, hanya kalah taktikal

Malaysia bukan tidak bagus, hanya kalah taktikal

AKSI pemain Malaysia ketika menentang Thailand dalam perlawanan akhir regu lelaki Piala Raja Thai di Bangkok kelmarin. – IHSAN/WarisanTakraw.my
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bukan tidak mampu menumbangkan Thailand tetapi pemain negara perlu menan­dingi percaturan taktikal lawan dan memperbaiki psikologi di hujung permainan.

Itu reaksi bekas pemain sepaktakraw kebangsaan, Mohd. Azlan Abdul Mubin selepas melihat regu negara tewas dalam final Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok kelmarin.

Kata Azlan, jika diteliti daripada perlawanan itu, skuad negara memiliki keupayaan untuk menundukkan Thailand.

“Cuba kita perhatikan perlawanan semalam, Malaysia sudah berada di mata akhir, tetapi disebabkan kesilapan pemain kita, Thailand memanfaatkan peluang tersebut untuk menang pada set pertama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, regu Muhammad Syahir Mohd. Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Amirul Zazwan Amir kecundang 20-22, 17-21.

Menurut Azlan, Thailand juga amat berani dalam mengatur strategi apabila menukar tekong di hujung permainan yang nyata menghadiahkan kemenangan.

“Kalau kita lihat, Thailand amat berani melakukan pertukaran apabila dia membawa keluar tekong muda mereka Pornthep Tinbangbon dengan membawa masuk Siriwat Sakha pada hujung perlawanan set pertama.

“Strategi ini ternyata menjadi, Tinbangbon seorang pemain yang bagus tetapi masih muda, jadi, mereka masukkan Siriwat yang berpengalaman luas pada saat genting, dekat sini kita ­tewas,” ujarnya.

Jelas pengulas sukan Astro Arena itu, untuk perlawanan akhir, kelmarin, Thailand menggabungkan wajah baharu dan lama untuk menentang Malaysia.

Azlan menambah, Siriwat Sakha dan Pattrapong Yupadee merupakan senior yang berupaya membantu pemain junior yang sudah mula diserapkan jurulatih  Thailand secara perlahan-lahan.

“Thailand memiliki sebuah pasukan yang sempurna dari segenap segi, pemain mereka telah dilatih untuk fokus dan bermain tanpa melakukan kesilapan terlalu kerap terutama ketika disaat genting.

“Ini yang kita perlu beri perhatian, apabila kita sedang bertahan, kita tak boleh bagi ruang kepada lawan dan kita juga perlu berani mencatur strategi dengan membawa masuk pemain di bangku simpanan kerana kita ada Zarif (Marican) dan Azlan (Alias),” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya