Maguire hanya akan sertai kelab lebih besar daripada West Ham

Maguire hanya akan sertai kelab lebih besar daripada West Ham

HARRY MAGUIRE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Harry Maguire hanya akan meninggalkan Manchester United jika menerima tawaran kelab lebih besar daripada West Ham.

Semalam, United menolak tawaran 20 juta pound (RM117 juta) yang dikemukakan oleh The Hammers untuk mendapatkan pertahanan England itu.

Pengendali pasukan, Erik ten Hag masih menghargai kelibat Maguire di Old Trafford dan tidak bercadang untuk menjualnya pada musim panas ini.

Bagaimanapun pasukan itu tidak menolak untuk mempertimbangkan kembali keputusan mengenai Maguire jika menerima tawaran yang bersesuaian.

Bekas kapten United itu dianggarkan bernilai sekitar 40 juta pound (RM235 juta).

Maguire, 30, sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai pasukan lebih besar daripada skuad kendalian David Moyes sekiranya dia mengambil keputusan untuk berhijrah.

Gaji mingguannya juga bakal menjadi isu untuk kelab-kelab kecil dengan dia kini menerima bayaran berjumlah 200,000 pound seminggu (RM1.17 juta).

United juga difahamkan telah menolak permohonan West Ham untuk mendapatkan pemain itu secara pinjaman.

KEHADIRAN Lisandro Martinez (kanan) dan Raphael Varane musim menyebabkan peluang Harry Maguire terbatas.

Maguire telah hilang tempatnya dalam pasukan United musim ini setelah ten Hag membawa masuk Lisandro Martinez dan Raphael Varane untuk menjadi benteng pertahanan utama Red Devils.

Lebih malang, dia kini menjadi pilihan kelima dalam senarai pertahanan United di belakang Victor Lindelof dan Luke Shaw.

Selain Maguire, West Ham turut berminat untuk mendapatkan Scott McTominay bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Declan Rice yang berpindah ke Arsenal.

Bagaimanapun, United tetap tidak bercadang untuk menjual pemain Scotland itu, apatah lagi dia dianggarkan bernilai 40 hingga 45 juta pound (RM235 juta hingga RM263 juta) buat mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan ­khidmatnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN