DUNEDIN: Jurulatih Jepun, Futoshi Ikeda memuji pasukannya yang menampilkan aksi ‘bertenaga’ ketika juara 2011 itu mengesahkan tiket ke pusingan 16 akhir bola sepak Piala Dunia Wanita bersama Sepanyol, hari ini.
Jaringan Hikaru Naomoto pada minit ke-25 dan Aoba Fujino dua minit kemudian memastikan kemaraan skuad Nadeshiko yang sebelum itu membelasah Zambia 5-0 dalam perlawanan pembukaan.
Sepanyol pula mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati selepas membelasah Costa Rica 5-0. Jepun dan Sepanyol akan berentap Isnin ini untuk menentukan juara Kumpulan C.
Beraksi di depan hanya 6,992 penonton di Stadium Forsyth Barr, kehadiran terendah dalam Piala Dunia setakat ini, Jepun tetap bersemangat memburu kemenangan dengan melancarkan serangan sejak awal permainan.

“Kami melakukan apa yang perlu dengan baik.
“Sesetengah pemain beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama tetapi mereka amat bertenaga dan itu membuatkan saya sangat gembira.
“Pasukan ini secara keseluruhannya bekerja sebagai satu unit…suasana yang baik, tenaga bagus. Kakitangan juga membawa aura positif, dan saya fikir itu membantu pasukan,” kata Ikeda.
Sementara itu dalam aksi di Eden Park, dua jaringan Jennifer Hermoso dan Alba Redondo serta satu jaringan Teresa Abelleira memastikan kemenangan besar Sepanyol.
Kemenangan itu membolehkan mereka mengungguli Kumpulan C dengan perbezaan jaringan.
“Menjaringkan lima gol dalam Piala Dunia, menang dua perlawanan…Ia sangat menggembirakan. Perbezaan gol amat penting sebelum pertemuan menentang Jepun,” kata Hermoso yang dinobat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. – AGENSI