PETALING JAYA: Datuk Hamidin Mohd Amin membuktikan ketokohan beliau di peringkat antarabangsa apabila buat pertama kalinya beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2023–2027 di AFC House, Kuala Lumpur kelmarin.
Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan beberapa agenda mesyuarat dibincangkan termasuk soal membangunkan aspek kewangan setiap anggota AFC.
Mesyuarat berkenaan menekankan cara untuk meningkatkan struktur dalaman dan sistem pengurusan risiko bagi memastikan hasil kewangan yang lebih teguh dan terjamin untuk Konfederasi.
“Mesyuarat itu juga mengesahkan sokongan Jawatankuasa Kewangan terhadap rancangan dan program ahli serantau berkaitan aspek kewangan dan cara untuk membangunkannya,” katanya.
Antara agenda dan topik utama yang turut dibincangkan ialah penyusunan belanjawan 2023 – 2024 serta kelulusan Penyata Kewangan Beraudit AFC untuk akhir tahun 31 Disember 2022.
Selain itu, perkara lain yang turut di bincangkan termasuk penilaian prestasi kewangan sehingga Mei 2023 dan Penggunaan Dana FIFA Forward 3.0 (2023-2026).
Turut diadakan mesyuarat jawatankuasa audit dan pematuhan AFC.-UTUSAN