PETALING JAYA: Dibenam 4-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir Piala FA minggu lalu masih meninggalkan luka mendalam buat pemain dan penyokong Selangor FC.
Pengendali Red Giants, Tan Cheng Hoe menggalas tugas berat untuk mengembalikan moral anak-anak buahnya apabila meneruskan saingan Liga Super, bermula dengan pertemuan menentang Kuching City di Petaling Jaya malam ini.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu mengingatkan pemain agar waspada dengan permainan Kuching City yang seri dalam dua aksi terakhir Liga Super atau berisiko menerima kejutan tidak diduga.
“Berdasarkan perlawanan menentang JDT, banyak yang pemain kena belajar dan perbaiki kesilapan. Moral dalam keadaan baik, mereka tahu kesilapan masing-masing.
“Mereka perlu jadikan kekalahan itu sebagai motivasi dan bangkit dalam perlawanan seterusnya. Selaku tuan rumah, kita turun dengan misi mengutip tiga mata penuh.

“Saya tidak kisah kita menang berapa gol, asalkan tiga mata penuh. Sekarang setiap pasukan pamer peningkatan permainan, mereka juga turun dengan motivasi tinggi berdepan pasukan Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, dia akan merombak pertahanan kerana dua pemainnya iaitu Fazli Mazlan dan Yazan Al-Arab berdepan kecederaan.
“Kita masih ada pilihan lain dan saya akan melihat dalam sesi latihan terakhir siapa akan diturunkan,” katanya.
Dalam aksi pusingan pertama Liga Super 2023 pada Mac lalu, Selangor menang bergaya 5-0 ke atas Kuching City FC namun, Cheng Hoe menegaskan bahawa rekod itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana gaya permainan pasukan dari Sarawak itu sudah meningkat.
Red Giants berusaha memperkukuhkan pasukan dengan memperkenalkan jentera serangan baharu, Richmond Boakye.