PETALING JAYA: Dibarisi deretan bintang, selain memegang rekod 17 kemenangan berturut-turut dalam Liga Super meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pilihan untuk mempertahankan Piala FA malam ini.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, malah menang 6-1 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) dalam pertembungan terakhir di venue yang sama pada 3 Julai lalu menguatkan lagi ramalan kejuaraan kali ini tidak akan bertukar tangan.
Begitupun dua bekas orang penting KL City, Mat Zan Mat Aris dan Nizaruddin Yusof percaya, The City Boys boleh melakar kejutan jika taktikal ‘si genius’ Bojan Hodak menjadi.
Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin yang menjadi tonggak KL ketika menjulang Piala FA pada 1999 percaya, ‘magis’ Hodak akan menjadi kunci utama.
Bagaimanapun, Nizaruddin menyifatkan pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini sebagai pertembungan membalas dendam selepas KL City pernah memalukan JDT 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2021 yang meninggalkan ‘parut’ sehingga sekarang.

“Sebenarnya sukar untuk ulas pertembungan aksi final malam ini kerana kedua-dua pasukan ada sejarah. JDT ada perkara yang perlu mereka lunaskan kembali selepas kalah 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia 2021.
“Bagaimanapun, saya rasa KL City ada harapan untuk melakar kejutan sekali lagi, namun ia juga bergantung kepada percaturan Hodak. Kalau dia pandai meletakkan pemain yang boleh meletup dalam final, itu akan menjadi satu kelebihan.
“Sebagai bekas pemain Kuala Lumpur, saya harap sangat sejarah 1999 ketika saya bersama pasukan itu akan akan berulang malam ini, potensi untuk menang tetap ada dan Hodak ada keistimewaannya dalam perlawanan merebut piala, dia ada ‘luck’.
“Saya berharap, Tchetche Kipre akan berkesan di bahagian hadapan dan Giancarlo Galliuoco kebal di bahagian pertahanan untuk mengekang asakan JDT selain pemilihan penjaga gol juga penting buat KL City malam ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau juga mahu pemain lincah, Arif Aiman Hanapi dirantai kerana mampu menjadi pemusnah, selain pergerakan Fernando Forestieri dibataskan.
Mat Zan pula percaya, Hodak amat mengenali pemainnya kerana sudah lama bersama KL City.
“Hodak sudah lama dengan pasukan KL City dan dia memiliki pengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia. Dia telah membantu pasukan mara ke final Piala Malaysia dengan menewaskan JDT.
“Saya percaya situasi tersebut akan memberikan kekuatan tambahan buat KL City. Malah, Hodak jugak cukup arif dengan taktikal selain kualiti pasukan tidak kira lokal atau import juga agak seimbang,” katanya yang juga merupakan bekas Jurulatih Kuala Lumpur.
Untuk rekod, sejak dikendalikan oleh Hodak, KL City berjaya mara ke pentas final kejohanan bola sepak buat kali ketiga berturut-turut selepas Piala Malaysia edisi 2021 dan Piala AFC tahun lalu.