LONDON: Pasukan Liga Pro Saudi (SPL), Al Hilal melancarkan tawaran pukal keterlaluan untuk lima pemain Chelsea sehingga menimbulkan kemarahan pegawai liga tempatan.
Kelab-kelab di Arab Saudi, yang sebahagian besarnya dikawal oleh Dana Pelaburan Awam menimbulkan kekacauan dalam pasaran perpindahan dengan mengeluarkan wang besar untuk beberapa bintang Eropah.
Al Ittihad telah membawa masuk Karim Benzema, N’Golo Kante dan Jota, manakala Al Nassr memulakan kegilaan dengan menandatangani Cristiano Ronaldo dalam perjanjian mengejutkan bernilai 173 juta pound (RM1.025 bilion).
Steven Gerrard menandatangani kontrak untuk menjadi pengurus Al Ettifaq dan mereka kini berusaha membawa masuk kapten Liverpool, Jordan Henderson dengan gaji 700,000 pound (RM4.1 juta) seminggu.

Al Hilal sebelum ini sudah pun mendapatkan bek tengah Chelsea, Kalidou Koulibaly, selain membayar 47 juta pound (RM278 juta) untuk bintang Wolverhampton, Ruben Neves dan membeli Sergej Milinkovic Savic dari Lazio.
Bagaimanapun menurut New York Times, kelab itu melancarkan percubaan baru yang luar biasa untuk menandatangani lima pemain Chelsea sekali gus.
Tawaran unik itu akan menjadi yang pertama seumpamanya tetapi dikhuatiri sukar menjadi kenyataan kerana pegawai SPL merasakan jumlah yang terlibat jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar pemain.
Lima pemain sasaran Al Ahli belum dinyatakan, namun Koulibaly sebelum itu menyertai dua rakannya di Chelsea, Kante dan Edouard Mendy yang terlebih dulu berpindah ke Arab Saudi.
Tiga lagi pemain Chelsea, Hakim Ziyech, Callum Hudson Odoi dan Pierre Emerick Aubameyang juga dirayu untuk menyertai SPL.
Disebabkan ‘kegilaan’ kelab-kelab Arab Saudi membawa masuk bintang Eropah, SPL mengeluarkan satu ketetapan bahawa kelab yang ingin membawa masuk pemain baharu dengan gaji tahunan melebihi 2.29 juta pound (RM13.5 juta) mesti mendapatkan persetujuan pihak liga. – AGENSI