PETALING JAYA: Yakin, percaya diri dan bermain tanpa tekanan.
Itu pesanan Ketua Jurulatih Malaysia Bawah 17 tahun (B-17), Osmera Omaro ketika pasukannya berlepas ke Bangkok hari ini untuk mengharungi kempen bola sepak Piala Asia B-17.
Anak-anak buah Osmera tewas dalam kedua-dua perlawanan pemanas badan terakhir sebelum terbang ke Thailand, di mana mereka akan memulakan kempen dengan menentang Yemen, Khamis ini.
Selepas kalah 2-3 kepada Uzbekistan, skuad muda negara diberikan pengajaran berguna oleh Arab Saudi apabila tumpas 1-4.
Selain Yemen, Malaysia turut diletak dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand dan Laos.
Berikut senarai nama 24 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-17 kebangsaan, Osmera Omaro bagi menghadapi Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023.
▶️ Baca penuh di https://t.co/uSM21yeN6Q pic.twitter.com/vMzIxZ3zPV
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 12, 2023
“Apa yang saya tekankan adalah perlu yakin pada diri sendiri dan sentiasa cuba memberikan yang terbaik.
“Dua perlawanan persahabatan hanyalah medan untuk memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini.
Skuad negara akan mengharungi aksi kedua kumpulan berdepan Thailand di Stadium Pathum Thani, Ahad ini sebelum perlawanan terakhir menentang Laos di Stadium Thammasat pada 21 Jun ini.
“Kita harap kita dapat buat yang terbaik dan paling maksimum. Harapan yang ada pada pasukan ini jika tidak layak ke Piala Dunia akan menjadi sesuatu yang mengecewakan walaupun secara realistik ianya bukan perkara yang paling mudah. Peluang adalah 50-50 kerana kita boleh tetapi bukan mudah.
“Harapan untuk layak ke Piala Dunia bukan sahaja memberikan tekanan tetapi juga semangat buat pemain. Ianya 2 dalam 1 dan terpulang pada pemain sebenarnya mereka letak yang mana jadi keutamaan. Jika tekanan kita akan susah tetapi jika semangat, ia akan jadi satu pendorong buat mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE