GELSENKIRCHEN, Jerman: Jerman diejek dan dicaci penyokong sendiri selepas mencatat satu lagi aksi mengecewakan ketika kalah 0-2 kepada Colombia dalam perlawanan persahabatan di laman sendiri, kurang setahun sebelum menjadi tuan rumah Euro 2024.
Tandukan Luis Diaz pada minit ke-54 dan sepakan penalti Juan Cuadrado di minit ke-82 membolehkan Colombia mencatat kemenangan pertama ke atas skuad Die Mannschaft.
Jerman sebelum ini memerlukan dua gol lewat untuk seri 3-3 dengan Ukraine minggu lalu sebelum tumpas 1-0 kepada Poland Jumaat lepas.
Bagi ketua pasukan Jerman, Ilkay Gundogan diejek penyokong sendiri sesuatu yang menyakitkan hati.
“Kami sudah biasa diejek penyokong lawan tetapi apabila ia dilakukan penyokong sendiri, sukar untuk diterima,” kata bintang tengah Manchester City itu.
Bagi pemain tengah Bayern Munich, Leon Goretzka, ‘penyakit’ lesu melanda juara Piala Dunia empat kali itu, terutama di hujung permainan.
Colombia beat Germany 2-0 in Germany today.
The first goal was a beauty. A great cross from Juventus’ Juan Cuadrado met by a great header from Liverpool’s Luis Díaz.
9 out of 11 that started for Colombia play in top European leagues. Underrated squad.pic.twitter.com/t8tVErhBEu
— Anthony (@anthonykyaw) June 20, 2023
“Ia sukar dijelaskan. Segalanya hilang…rasa seperti penghujung musim yang kami lalui di Bayern.
“Semuanya seolah-olah menentang kami pada masa ini dan ia serba tidak menjadi,” katanya.
Jerman hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir sejak tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar, Disember lalu.
Mereka juga hanya menang tiga daripada 11 perlawanan terakhir.
“Tentunya saya amat kecewa kerana kami tidak berjaya menunaikan apa yang kami rancang,.Ada beberapa perkara yang kami mahu cuba praktikkan tetapi ia memakan diri.
“Apa yang boleh saya katakan? Semuanya tidak menyebelahi pasukan kami ketika ini.
“Kami perlu menganalisis, belajar daripada kesilapan,” kata jurulatih Jerman, Hansi Flick yang mengambil alih pasukan pada 2021. – AGENSI