LONDON: Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo akan membayar 86,000 pound (RM501,000) sebulan, seumur hidup kepada Georgina Rodriguez jika berpisah dengan teman wanitanya itu.
Ini disebabkan perjanjian pra perkahwinan yang dibuat untuk menjamin masa depan kewangan Rodriguez, menurut Daily Mail.
Berita mengenai pembayaran ala nafkah itu bocor selepas tersebar khabar angin bahawa pasangan tersebut telah berpisah.
Rodriguez sudah bersama bintang Al-Nassr itu sejak 2016 dan memiliki dua anak bersama iaitu Alana Martina dan Bella Esmeralda.
Model berusia 29 tahun itu juga menjadi ibu kepada tiga lagi anak mereka iaitu Cristiano Ronaldo Jnr. serta dua kembar, Eva dan Mateo yang dilahirkan menerusi ibu tumpang.
Pasangan itu dikecualikan daripada undang-undang Arab Saudi yang melarang pasangan tidak berkahwin tinggal serumah selepas Ronaldo membuat keputusan berhijrah ke negara itu, awal tahun ini.
Walaupun tidak berkahwin, namun menurut TV Guia, mereka sudah memiliki perancangan bagi memastikan Rodriguez mendapat bantuan kewangan jika kedua-duanya berpisah.
Difahamkan, perjanjian itu adalah menukar pemilikan rumah keluarga di Madrid ke atas nama Rodriguez, selain dia turut menerima RM501,000 setiap bulan untuk sepanjang hayatnya.
Alimoni bulanan itu disebabkan Rodriguez menjadi ibu kepada lima anak Ronaldo dari aspek undang-undang walaupun bukan anak kandungnya.
Pasangan tersebut dikatakan sudah berpisah bulan lalu, namun ibu Ronaldo, Dolores menafikan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai khabar angin palsu.
“Setiap pasangan pasti bertengkar, namun apa yang ditulis itu satu pembohongan,” katanya. – AGENSI











