LONDON: Tonggak pertahanan Manchester United, Raphael Varane memberi amaran menjelang final Piala FA hari ini, dia tahu bagaimana hendak menyekat ‘mesin’ gol Manchester City, Erling Haaland.
Kedua-dua kelab menuju ke pertembungan derby Manchester untuk memburu trofi kedua musim ini selepas United menjulang Piala Liga dan City memenangi Liga Perdana Inggeris.
Haaland yang menyertai City pada musim panas dari Borussia Dortmund menjadi sebahagian besar kejayaan mereka, menjaringkan 52 gol luar biasa dalam 51 perlawanan (semua pertandingan).
Pasukan Pep Guardiola mampu meraih gelaran treble musim ini setelah turut mara ke final Liga Juara-Juara.
Red Devils bertekad untuk menghalang mereka daripada melakukannya kerana mahu mengekalkan status sebagai satu-satunya kelab Inggeris yang pernah memenangi treble pada 1999.
Jika United mahu menang di Wembley, mereka mesti mengekang Haaland, selain menyekat bantuan yang sering diterima daripada perancang utama, Kevin De Bruyne.
“Haaland pemain yang amat bagus, kita semua tahu tetapi bahaya dari City ada di mana-mana.
“Mereka boleh menjaringkan gol menerusi sepakan bebas, penguasaan bola atau peralihan permainan.
“Kami tahu kami perlu menghalang mereka sebagai satu pasukan dan secara kolektif sebagai satu kumpulan.
“Sebagai pemain pertahanan, saya perlu fokus kepada hubungan Haaland dan De Bruyne. Hantaran kedua-dua pemain amat rumit untuk dipertahankan, jadi kami akan cuba putuskan hubungan itu.
“Kami akan cuba menghalang mereka lebih awal dan bukan di akhirnya, kerana kadang-kadang sudah terlambat. Kami tahu kami perlu kuat sebagai satu pasukan,” kata Varane. – AGENSI