LONDON: Pengendali baharu Chelsea, Mauricio Pochettino merancang pembersihan pasukan dengan 15 bintang Blues bakal ditunjuk jalan keluar daripada Stamford Bridge.
Dengan penjualan pemain-pemain itu, Chelsea mampu mendapat dana 280 juta pound (RM1.6 bilion).
Joao Felix menjadi pemain pertama akan disingkirkan Pochettino.
Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo mengesahkan penyerang Portugal itu akan kembali bersama pasukan selepas berakhirnya tempoh pinjaman enam bulan dan keputusan dicapai pada hari Pochettino disahkan menjadi pengendali Chelsea.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu mahu mengurangkan saiz pasukan pada musim panas ini selepas berbelanja besar dalam dua jendela perpindahan sebelum ini.
Chelsea berharap lebih daripada 10 pemain akan berpindah bagi membantu menjadikan situasi lebih terurus untuk Pochettino, yang dijadualkan berada di England minggu ini bagi memulakan tugas baharunya secara rasmi 1 Julai dengan kontrak awal ditandatangani selama dua tahun.

Pierre-Emerick Aubameyang, Hakim Ziyech, Christian Pulisic, Edouard Mendy dan Callum Hudson-Odoi dijangka berpindah manakala masa depan Kalidou Koulibaly, Cesar Azpilicueta dan N’Golo Kante masih belum jelas.
Denis Zakaria akan mengikuti jejak Felix dengan kembali ke Juventus selepas tamat tempoh pinjaman.
Pemain seperti Mateo Kovacic, Conor Gallagher, Trevoh Chalobah dan Ruben Loftus-Cheek turut mendapat permintaan daripada kelab lain.
Bintang tengah England, Mason Mount dijangka kekal selepas Pochettino berminat meneruskan kerjasama biarpun dia dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool. – AGENSI