MOM bantu 'pujuk' PABM kembali ke Sukma - Utusan Malaysia

MOM bantu ‘pujuk’ PABM kembali ke Sukma

HANNAH Yeoh (duduk, tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dan Mesyuarat Penyelarasan EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menjadi ‘orang tengah’ bagi memujuk Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mengendalikan acara angkat berat di temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya telah meminta MOM untuk meneliti perkara berkenaan selepas PABM menarik diri daripada menguruskan penganjuran acara berkenaan pada edisi Sukma tahun lalu.

“Perkara ini kita ada bincang (dalam mesyuarat hari ini). Kita sudah minta MOM melihat perkara ini kerana kebimbangan sudah disuarakan beberapa negeri oleh beberapa negeri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di sini hari ini.

Pada Sukma yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) tahun lalu, PABM bertindak menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat susulan tiga atlet iaitu dua dari Terengganu dan seorang dari Perlis gagal dalam ujian anti doping sebelum temasya bermula.

PABM ketika itu bertegas untuk tidak membenarkan atlet  Terengganu dan Perlis bertanding dalam angkat berat, namun MSN selaku penganjur memutuskan sebaliknya sekali gus membuatkan badan induk itu menarik diri daripada mengendalikan temasya.

Tindakan berkenaan sekali gus menyaksikan segala pencapaian termasuk rekod kebangsaan yang dicipta pada temasya itu tidak diiktiraf kerana tidak mendapat ‘restu’ PABM selaku badan induk.

Pertandingan angkat berat pada waktu itu dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai yang dilantik oleh sekretariat Sukma di bawah MSN.

Dalam pada itu, Hannah, memberitahu Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju menyenaraikan lima jenis sukan iaitu sofbol, kriket, catur, kabaddi dan silambam untuk dipertandingkan pada di Sukma 2024.

Bagaimanapun Hannah berkata, lima sukan berkenaan perlu mempunyai penyertaan enam negeri sebelum ia dibenarkan dipertandingkan di Sarawak.

“Faktor pertimbangan itu dibuat kerana sukan tersebut mempunyai Kejohanan Remaja Kebangsaan dan paling penting Sarawak selaku penganjur Sukma 2024 dan MSN sebagai penganjur Sukma 2026 telah bersetuju memasukan lima sukan ini supaya ada kesinambungan dan perancangan.

“Jadi, persatuan sukan semua perlu ada peranan masing-masing agar sukan tersebut popular sebelum negeri itu bersetuju untuk menghantar penyertaaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN