PARIS: Lionel Messi terdesak untuk kembali ke pangkuan Barcelona selepas Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan penyerang Argentina itu tidak akan bersama mereka pada musim hadapan.
Juara Ligue 1 itu mengumumkan perlawanan menentang Clermont di Parc de Princes hari ini bakal menjadi aksi terakhir Messi bersama kelab berkenaan.
Begitupun situasi amat sulit buat Messi untuk kembali ke Camp Nou memandangkan Barcelona ketika ini dikenakan peraturan ketat membabitkan kewangan oleh La Liga.
La Liga menetapkan Barcelona hanya boleh membelanjakan 40 juta euro (RM197.7 juta) bagi setiap 100 juta euro (RM494 juta) yang mereka bawa masuk.
Gergasi Catalan itu dijangka mempunyai wang berlebihan selepas penghijrahan beberapa tonggak sedia ada seperti kapten, Sergio Busquets dan juga Jordi Alba.
Mereka juga menutup rangkaian televisyen, Barca TV serta mendapatkan beberapa penaja baharu.
Begitupun, juara Liga Sepanyol masih memerlukan ‘lampu hijau’ daripada La Liga untuk membawa pulang Messi.
Bapa Messi, Jorge yang bertindak sebagai ejen peribadinya mahu menyatukan semula anaknya dengan Xavi yang kini bergelar pengurus
Barcelona, selain tiga orang cucunya, Thiago, Mateo serta Ciro sudah pun didaftarkan di sebuah sekolah di Castelldefels, Catalonia.
Begitupun, ketika ini hanya kelab Arab Saudi, Al Hilal menawarkan kontrak yang lumayan, iaitu 2 bilion pound (RM11.5 bilion) untuk tempoh dua tahun kepada Messi.
Jika La Liga memberi kelonggaran buat Barcelona untuk mendapatkan semula Messi, kelab Catalan dijangka menawarkan pakej perpindahan lebih rendah bernilai 25 juta pound (RM143.7 juta) setahun.
Ia masih belum cukup untuk mengatasi tawaran lumayan daripada Al Hilal, kecuali Messi sanggup menurunkan harganya demi kembali ke Barcelona.
Sebuah lagi kelab yang dikaitkan dengan bintang Argentina itu adalah Inter Miami di Amerika Syarikat.
Messi, 36, masih mahu bermain di peringkat tertinggi bola sepak dunia selepas melihat seterunya, Cristiano Ronaldo tidak begitu menyerlah sejak berpindah ke Al-Nassr. – AGENSI